Sukan Hari Ini

Pas percuma setahun

Kuala Terengganu: “Kami akan bagi pas masuk percuma semusim jika pengirim surat misteri itu datang berjumpa,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar seorang penyokong jujur bola sepak Terengganu yang mengirim sepucuk surat serta wang tunai RM15 kepada mereka.

Tindakan peminat misteri itu menghantar surat dan wang tunai sebagai membayar ‘kafarah’ selepas melakukan kesalahan memasuki Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tanpa tiket dengan memanjat pagar sebelum perlawanan Terengganu menentang Lions XII pada 4 November lalu.

Berikutan itu surat yang bertarikh 8 November itu menjadi viral dalam laman sosial selain mendapat pujian orang ramai berhubung kejujuran pengirim surat itu yang mengakui kesalahannya.

Bagaimanapun sehingga petang semalam, penyokong yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Hamba Allah’ itu belum tampil di pejabat PBSNT di Wisma Seri Amar atau menghubungi Wan Ahmad Nizam.

“Sekiranya beliau menghubungi atau datang ke pejabat kami bersedia memberikan cenderahati pas percuma setahun membabitkan aksi di SSMZA,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berharap pengirim surat itu tampil segera tanpa perlu memikirkan perkara negatif biarpun surat itu sudah menjadi viral.

“Kejujuran dan sikap berterus-terang penyokong berkenaan perlu dilihat secara positif,” katanya.

Sementara itu Setiausaha PBSNT Arpin Draman yang menerima surat itu pagi Ahad lalu turut mengakui beliau belum menerima panggilan daripada peminat itu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");