PASIR GUDANG – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, diminta mengkaji cadangan agar semua pemaju dan kawasan industri besar di Johor mewujudkan sistem penuaian hujan serta memiliki tangki simpanan sendiri.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian cadangan itu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air tradisional.
Menurutnya, ia juga merupakan satu daripada cadangan jangka masa panjang bagi memastikan bekalan air tradisional iaitu empangan dan loji rawatan berada dalam keadaan terkawal.
“Sudah sampai masanya PBT melihat pemaju perumahan dan industri besar menyediakan tangki sendiri atau sistem penuaian hujan sebelum projek dijalankan supaya tidak menggunakan sumber air tradisional.
“Terdapat sebilangan pemaju perumahan sudah menyediakan tangki simpanan sendiri sebelum projek mereka siap, dengan tujuan tidak mahu menggunakan air dari sumber tradisional.
“Antara contoh adalah di Senibong Cove, menggunakan sistem ini (penuaian hujan) dan tangki air sendiri sekali gus tidak terjejas dengan catuan (bekalan air),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program Transformasi Ekonomi dan Modal Insan Duta Jauhar di Taman Desa Rakyat Perdana, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, On Jabbar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md Za’nal Misran.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sememangnya menjalankan kajian jangka pendek dan panjang mengenai soal penggunaan air bagi tujuan pembangunan serta industri di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata, hasil kajian serta perbincangan terperinci mengenai masalah dan isu air di negeri ini akan dibincangkan serta dibawa pada Forum Air Johor 2015 yang akan diadakan 17 November ini.
“Saya ingat sudah sampai masanya kita menterjemahkan segala kajian yang dibuat dan mengambil tindakan sesuai.
“Teknologi digunakan adalah bagi menentukan bekalan air tidak hanya bersandarkan kepada bekalan air tradisional sahaja,” katanya.
-Sinar Harian