Perak Hari Ini

Pengguguran Hamidah Tidak Beri Kesan Besar Kepada UMNO Bahagian

IPOH: Empat Peringkat UMNO Bahagian Gopeng yang terdiri daripada UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri menerima dan menyokong keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menggugurkan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dan hak keahliannya.

Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kasim berkata, hukuman yang dibuat itu tidak akan memberi kesan yang besar terhadap UMNO Bahagian.

“Jawatankuasa UMNO empat peringkat kena bertemu untuk melihat bahawa ianya (hukuman ke atas Hamidah) tidak akan memberi banyak kesan atau tidak memberikan luka yang besar.

“Tidak timbul masalah di sini (UMNO Bahagian Gopeng). Saya ingin jelaskan kepada seluruh Negara bahawa UMNO Bahagian Gopeng tetap bersatu padu dan perpaduan antara ahli amat baik. Tidak timbul masalah untuk hadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti,”katanya dalam satu sidang media khas, malam tadi.

UMNO1

Katanya lagi, hukuman yang diterima Hamidah itu bukanlah disebabkan menjemput mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat sesi ceramah pada Mei lalu, sebaliknya bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian itu telah melanggar perlembagaan dan etika parti.

“Pegangan kita, kita tak membenci seseorang, tetapi kita ada undang-undang. UMNO ada perlembagaan dan etika yang telah dipersetujui.

“Sekiranya ada yang tidak berpuas hati, ikut saluran dan beri pendapat. Bukan dengan menyebarkan maklumat-maklumat di media baru dan menuduh perkara-perkara yang tidak pasti,”tegasnya.

Hamzah yang juga merupakan Senator Dewan Negara turut berkata, antara tindakan yang dilakukan oleh Hamidah adalah meminta Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

“Dia (Hamidah) minta Datuk Seri Najib lepaskan jawatan. Apa hak kita untuk mengarahkan orang yang diberi amanah oleh rakyat dan ahli UMNO turun? Perdana Menteri masih belum didapati bersalah apa-apa.

“Dia mewujudkan persepsi-persepsi yang tidak betul. Itu satu kesalahan. Kalau betul ada kesalahan yang dilakukan (oleh Najib), laporkan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis,”katanya.

Ketika ditanya tentang pengganti kepada Hamidah, beliau menyerahkan lantikan itu kepada MT UMNO untuk membuat pelantikan.

“Itu keputusan MT untuk melantik. Tetapi saya yakin bahawa Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Feridah Zakaria akan dilantik sebagai pemangku Ketua Wanita.

“Kita akan segerakan pelantikan tersebut,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");