IPOH: Malam Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2015 yang dianjurkan oleh Tourism Perak dengan kerjasama beberapa pihak lain adalah untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, majlis tersebut merupakan manifestasi penghargaan atas sumbangan yang telah diberikan oleh mereka dalam membantu sektor pelancongan di negeri Perak.
“Malam Anugerah Pelancongan Negeri Perak diadakan sekali bagi tempoh setiap dua tahun.
“Ia bertujuan untuk mengiktiraf agensi kerajaan dan swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga orang perseorangan yang banyak memberikan khidmat serta sumbangan bagi memartabatkan lagi industri pelancongan di negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata lagi, anugerah tersebut dilihat sebagai pendorong dan menjadi inspirasi kepada penggiat industri pelancongan di Perak untuk mengekalkan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Kita harap mereka akan melakukan lebih daripada itu untuk membantu Kerajaan Negeri menaikkan imej kita sebagai destinasi utama di Malaysia,” katanya dalam sidang media ketika ditemui di majlis berkenaan di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada semua pemenang pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, Nolee berkata, setakat ini kerjasama erat yang ditunjukkan oleh penggiat-penggiat industri pelancongan bersama-sama Kerajaan Negeri adalah sangat positif.
Beliau juga berharap ianya secara tidak langsung akan membantu dalam strategi-strategi baru yang akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Insyaallah Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perjumpaan sebelum penghujung tahun ini untuk kita mengumumkan dan membincangkan hala tuju untuk pelancongan khasnya bagi persediaan tahun melawat Perak yang mungkin kita akan adakan pada tahun 2017,” kata beliau lagi.
Bagi tahun ini, sebanyak 23 kategori telah dipilih termasuklah kategori Hotel Terbaik, Resort Terbaik, Homestay Terbaik, Produk Pelancongan Terbaik, Agensi Kerajaan Berinovasi, Media Berinovasi, Restoran Terbaik, Pengusaha Kraftangan Terbaik dan Pemandu Pelancong Terbaik.
Manakala, anugerah khas juga telah diberikan kepada tiga personaliti terbaik.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada artis terkenal tanah air, Datin Alyah.