Perak Hari Ini

Perak Tubuh Badan Pengurusan Kawasan Perindustrian

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju untuk menubuhkan satu badan pengurusan kawasan-kawasan perindustrian di negeri ini yang akan berfungsi sebagai operator taman industri.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) berkata, ia ditubuhkan sebagai sebuah anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang akan menyediakan perkhidmatan seperti penyelenggaraan jalan, lampu jalan, sistem perparitan, penyediaan kemudahan awam dan lain-lain.

“Penubuhan operator taman indusri ini adalah selaras dengan sasaran Kerajaan Persekutuan dalam usaha menambahbaik perkhidmatan bagi kawasan perindustrian.

“Sebagai permulaan, Perak telah disenarai pendek sebagai salah satu ‘pilot project’ penubuhan operator taman industri selain Johor, Selangor dan Melaka,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Lim Pek Har (DAP- Menglembu) dalam Mesyuarat Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri yang ke-13, hari ini.

Tambahnya lagi, setelah penubuhan operator taman industri selesai, ia akan menikmati insentif daripada Kerajaan Persekutuan berupa pengecualian cukai pendapatan selama lima tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa agensi dan badan kerajaan sedang meneliti model perniagaan dan kewangan syarikat operator taman industri tersebut sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk pertimbangan dan kelulusan.

Ujarnya, antara badan dan agensi yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Perak dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelasnya lagi, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan insentif-insentif bagi pemaju yang memajukan kawasan perindustrian untuk menarik pelabur ke negeri ini.

“Antaranya termasuklah pemberian taraf fast-track kepada projek-projek pembangunan kawasan perindustrian baru terpilih, membenarkan pemaju asing dan tempatan memegang ekuiti majority sehingga 100 peratus dalam projek pembangunan kawasan perindustrian baru dan membenarkan mereka menguruskan kawasan-kawasan perindustrian tersebut sebagai operator.

“Mengenakan kos premium permohonan tanah Kerajaan Negeri secara harga nominal untuk pemaju kawasan perindustrian, melewatkan pembayaran cukai tanah dan cukai taksiran kepada pemaju sehingga tapak-tapak tersebut dipindahmilik kepada pelabur dan memberi diskaun 10 peratus hingga 30 peratus premium mengubah syarat nyata tanah dari Pertanian kepada Perindustrian bagi kawasan yang akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian baru,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");