Alicante: Corak hantaran dan kelemahan dalam menghasilkan keputusan harus dipertingkatkan jika England berhasrat memberi cabaran serius di Euro 2016, jelas pengurus, Roy Hodgson selepas mereka tumpas 0-2 kepada penyandang juara Euro, Sepanyol dalam aksi persahabatan.
England jelas sekali gagal memberi tentangan kepada La Roja di Alicante dan rembatan voli Mario Gaspar pada minit ke-72 serta usaha keras Santi Cazorla enam minit sebelum tamat memberikan kemenangan selesa kepada pasukan tuan rumah.
Walaupun Hodgson kehilangan beberapa pemain utama akibat masalah kecederaan dan memulakan aksi dengan ketua pasukan, Wayne Rooney hanya diletakkan di bangku simpanan, beliau menjangkakan anak buahnya mampu untuk memberi tentangan dan rekod 15 perlawanan tanpa kalah mereka akhirnya lebur.
“Hantaran dan membuat keputusan dengan tepat harus dipertingkatkan lagi. Sepanyol tidak memberikan bola kepada pihak lawan dengan terlalu kerap.
“Saya tidak mahu terlalu mengkritik pemain. Kami harus bertanggungjawab. Kami tidak mahu alasan. Saya harap kami tidak hilang keyakinan kerana banyak lagi perlawanan harus dihadapi,” kata Hodgson.
Penjaga gol England, Joe Hart berkata, pasukannya masih mempunyai banyak ruang untuk diperkemaskan tetapi sedar bahawa kebanyakan pemain masih muda serta bakal menjadi tunjang skuad masa depan.
“Banyak lagi perkara perlu dipertingkatkan tetapi kami sudah mempunyai asas kukuh. Saya seperti seorang pemain berusia walaupun baru 28 tahun. Itu adalah sesuatu yang baik untuk masa depan.
“Kami mempunyai peluang dan mampu menguasai perlawanan tetapi kami tumpas. Bagaimanapun, kami harus segera bangkit dan mempamerkan permainan lebih baik menentang Perancis,” kata Hart.
England dijadualkan bertemu tuan rumah Euro 2016 itu di London Selasa ini tetapi ia masih belum pasti sama ada perlawanan itu akan diteruskan
– harian metro