Sukan Hari Ini

Permata baru tenis

Kuala Lumpur: Imran Daniel Abdul Hazil mencetus sensasi baru dalam dunia sukan tempatan apabila pemain tenis berusia 10 tahun itu mengharumkan nama negara dengan memenangi dua gelaran juara di Kejohanan Tenis Master Remaja Dunia, di Turki minggu lalu.

Bermula dengan kemenangan ke atas Manvydas Barciunas dari Belanda dengan keputusan 6-0, 6-0 pada aksi final bawah 10 tahun, Imran meneruskan rentak cemerlang itu apabila menjuarai kategori bawah 11 tahun apabila menumbangkan pemain Romania Dan Vasile Duta 6-4, 2-6, 7-6 dalam aksi 150 minit.

Menurut bapanya yang juga bekas pemain tenis kebangsaan, Abdul Hazil Zainuddin, semangat anaknya kini melonjak tinggi terutama selepas kemampuannya mengenepikan pemain lebih berusia yang juga pilihan pertama dalam kategori bawah 11 tahun.

“Selepas Imran menjuarai kategori 11 tahun, dia kelihatan amat yakin dan motivasi juga tinggi ketika ini. Saya yakin, sekiranya pendedahan diberikan kepada Imran dia mampu menggegar dunia,” katanya yang juga jurulatih kepada anaknya itu.

Jelas Hazil, kejayaan anaknya itu bukan datang bergolek sebaliknya hadir selepas melalui pelbagai halangan dan dugaan serta pengorbanan terutama kewangan.

Katanya, untuk membentuk Imran menjadi antara pemain terbaik dunia di masa depan, pendedahan harus diberikan dengan menjadikan pertandingan di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat sebagai destinasi pilihan.

“Selepas ini Imran akan terus dihantar menyertai pelbagai pertandingan di luar negara bagi mematangkan lagi aksinya. Saya mensasarkan untuk tahun depan, sekurang-kurangnya dia perlu menyertai enam pertandingan di Eropah dan lapan Asia.

“Jadi saya memerlukan dana yang besar untuk membawanya menyertai pertandingan berkenaan. Satu pertandingan di Eropah memakan kos RM30,000 dan Asia mungkin kurang sedikit daripada itu.

“Saya harap dengan kejayaan anak saya ini, akan ada pihak korporat tampil menaja Imran. Demi masa depan Imran dan juga tenis negara, saya harap akan ada yang membantu kami,” katanya sebaik tiba dari Turki, semalam.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");