Panasnya Hari Ini

Permintaan Anwar Tidak Akan Dilayan

KUALA LUMPUR: Saranan peguam yang mewakili bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menjalani tahanan di kediaman beliau tidak akan dilayan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan tidak akan melayan permintaan tersebut kerana isu itu tidak sepatutnya timbul.

Katanya lagi, isu tahanan rumah tidak seharusnya timbul berikutan masalah kesihatan yang dihadapi oleh Anwar.

“Perbezaan kali ini, kes yang dijalani adalah kes yang melibatkan tuduhan seorang individu. Jadi kesnya adalah kes jenayah.

“Jadi soal sama ada beliau akan diberikan pengampunan atau diberikan tahanan rumah…saya rasa perkara itu tidak timbul,”katanya memetik laporan mstar.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar semua pihak dapat menghormati keputusan mahkamah dan beliau memberi jaminan bahawa Anwar akan berada dalam keadaan sihat.

“Hormati keputusan mahkamah. Kita pastikan beliau sentiasa sihat, kalau ada masalah yang memberikan bahaya kepadanya atau menyebabkan perkara yang serius, kerajaan akan pastikan beliau dapat rawatan yang sepatutnya,”jelas beliau.

Nur Jazlan, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, turut menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), turut memaklumkan Dewan bahawa Anwar telah mendapat pelbagai keistimewaan termasuk berkaitan kesihatannya.

“Datuk Seri Anwar telah melaksanakan hukuman selama 38 minggu, dalam tempoh itu beliau menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di Penjara Sungai Buloh sebanyak 33 kali, termasuk doktor dari Hospital Sungai Buloh, penjara dan juga pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sepuluh kali rawatan itu adalah rawatan fisioterapi. Beliau menerima keistimewaan yang tidak diberikan kepada banduan lain, dan saya harap keluarganya akan memahami bahawa kerajaan sentiasa menjaga kesihatan beliau,”jelasnya.

Terdahulu, Anwar telah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Peguamnnya, R Sivarasa turut pernah membangkitkan isu tersebut (tahanan kediaman) kerana mendakwa Anwar pernah dinafikan akses kepada rawatan yang perlu dijalani oleh Anwar.

Sivarasa mencadangkan agar Anwar dipindahkan segera ke tahanan kediaman dengan kadar segera supaya mendapat rawatan daripada doktornya sendiri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");