IPOH: Peserta dari Kenya berjaya menggondol tempat pertama hingga ketiga bagi kategori Lelaki dan Wanita Antarabangsa dalam Ipoh International Run (IIR) 2015 yang diadakan pada pagi tadi.
Tempat pertama bagi Kategori Lelaki Terbuka Antarabangsa berjaya dirangkul oleh Paul Kimani yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000,manakala tempat kedua pula diraih oleh James Munyi (RM3,500) dan tempat ketiga, Waipuri Anthony Kahuthu (RM3,000).
Manakala bagi kategori Wanita Terbuka Antarabangsa, tempat pertama menjadi milik Monia Watetu yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000 , tempat kedua pula dirah oleh Kigen Isabellah (RM3,000) dan tempat ketiga menjadi milik Esther Wambui Karimi (RM2,000).
Peserta daripada kedua-dua kategori ini perlu berlari sejauh 21 kilometer.
Penganjuran IIR 2015 buat kali ke-20 ini telah disertai oleh 9,995 peserta dari dalam dan luar Negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melakukan pelepasan peserta dalam acara tersebut ada awal pagi tadi.
Turut hadir pada acara pelepasan adalah Spekaer Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri SK Devamany, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.
Pelepasan peserta dibahagikan mengikut Kategori dimana pelepasan pertama dilepaskan pada jam 6.50 pagi, pelepasan kedua pada jam 7 pagi dan pelepasan ketiga pada jam 7.10 pagi di perkarangan Stadium Perak.
Terdapat 11 kategori dalam penganjuran kali ini seperti Kategori Lelaki dan Wanita Antarabangsa (Terbuka), Lelaki Veteran (40 tahun ke atas), Wanita Veteran (35 tahun ke atas), Lelaki dan Wanita Terbuka (13 tahun ke atas), Lelaki Senior Veteran(50 tahun ke atas), Lelaki dan Wanita Terbuka (16-18 tahun) dan Lelaki dan Wanita Junior (13-15 tahun).
Peserta bagi kategori Lelaki dan Wanita Antarabangsa serta Lelaki Veteran telah berlari sejauh 21 Kilometer (KM), Lelaki dan Wanita Terbuka serta Lelaki Senior Veteran (10KM), Lelaki dan Wanita Terbuka berumur 16hingga 18 tahun (7KM) dan Lelaki dan Wanita Junior (5KM).
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, penganjuran IIR sentiasa mendapat maklum balas positif daripada peserta tempatan dan antarabangsa.
Katanya, antara Negara yang menyertai IIR 2016 adalah daripada Kenya, United Kingdom, China, Nigeria, India, India, Nepal, Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Myanmar.
“Pada tahun hadapan, kita bercadang untuk menganjurkan IIR pada bulan Ogos. Ini kerana kita sudah ada kumpulan-kumpulan yang sentiasa mengikuti program kita.
“Jadi, selepas IIR 2015, kita akan terus merangka untuk IIR 2016,”katanya.