Berita Hari Ini

Petronas labur lebih RM300 bilion di Sarawak

KUCHING: Petrolian Nasional Bhd (Petronas) bertapak kukuh di Sarawak menerusi pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM300 bilion dalam aktiviti dan projek huluan, pertengahan dan hiliran, kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LNG Group of Companies Dzafri Sham Ahmad.

Beliau berkata bagi projek huluan, terdapat 60 medan pengeluaran minyak dan gas – 26 minyak dan 34 gas – yang menghasilkan pada purata bersamaan 850 kilo tong minyak sehari (kboe/d).

“Selain itu, terdapat 206 medan yang sudah ditemui namun belum menjana kewangan,” katanya pada Malam Media Petronas 2015 di sini malam tadi.

Dzafri berkata bagi projek pertengahan, terdapat tiga kemudahan iaitu Kompleks LNG Petronas di Bintulu; Projek Train 9 Petronas dan kemudahan terapung LNG.

Bagi projek hiliran, beliau berkata kini terdapat dua unit beroperasi di Sarawak iaitu Kilang Baja Bintulu Asean yang menghasilkan 0.6 juta tan urea setahun (MPTA), menjadikannya kilang urea berbutir terbesar di Asia selain pengeluaran 0.4 MTPA ammonia.

“Cabang dagangannya, Petronas Dagangan mengurus dan mengoperasikan lima terminal bahan api, empat kemudahan bunker, empat depot penerbangan, dua kilang pengisian LPG dank 81 stesen servis,” katanya.

Dzafri berkata Petronas Dagangan juga mengedar bahan api kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.

Menurutnya Petronas, sebagai warga korporat yang bertanggungjawan, telah memulangkan lebih banyak manfaat kepada masyarakat berbanding syarikat minyak dan gas lain di negara ini.

“Pada masa lepas kami memilih untuk tidak menonjol, yang mungkin menyebabkan ramai yang menganggap usaha kami kepada masyarakat tidak mencukupi, terutama di Sarawak.

“Sepanjang 2010-2015 sahaja, Petronas dan anak syarikatnya membelanjakan lebih RM27 juta melaksanakan lebih daripada 100 projek tanggungjawab sosial (CSR) di Sarawak.

“Ini termasuk RM10 juta yang kami belanjakan untuk menjayakan Projek Biokepelbagaian serta Pemuliharaan Alam Sekitar di Taman Negara Similajau, dan RM5 juta lagi sumbangan untuk mentransformasikan Kem Piasau, Miri sebagai Hutan Simpan Piasau,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Petronas juga menyalurkan RM470 juta sejak 2015 hingga 2019 untuk CSR, pembangunan sumber manusia dan pendidikan.

“Komitmen ini adalah tambahan kepada sumbangan tanggungjawab sosial korporat sedia ada kami di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Malaysia LNG Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, turut menyampaikan sumbangan RM1.5 juta untuk Unit Kebakaran Hospital Bintulu yang
bakal ditubuhkan.

“Kami menyokong projek ini kerana kami mengetahui bahawa ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk di wilayah utara Sarawak, dan sumbangan sosioekonomi ini membuktikan komitmen kami dalam memastikan Sarawak dan penduduknya terus memperoleh manfaat langsung dan tidak langusng daripada industri minyak dan gas di negeri ini,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");