TAIPING: Program Francais Komuniti dilihat mampu membantu masyarakat dalam menceburi bidang francais serta keusahawanan.
Justeru itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menganjurkan Program Francais Komuniti Zon Tengah 2015.
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali berkata, ia bertujuan untuk membuka mata masyarakat tentang potensi yang sangat besar dalam perniagaan tersebut.
“Selalunya orang akan lihat francais ini sebagai satu perniagaan yang bersifat eksklusif dan berjenama besar, tetapi ramai yang tidak sedar ianya boleh dilakukan secara kecil-kecilan.
“Jadi kerajaan berusaha untuk melakukan program seperti ini untuk membantu usahawan menambah ilmu pengetahuan dalam bidang francais,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bagi mewakili Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam program berkenaan yang berlangsung di AEON Mall, dekat sini, pagi tadi.
Basaruddin berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai infrastruktur termasuk dari segi undang-undang untuk melindungi franchisor, penyediaan bantuan modal kepada individu yang mahu melibatkan diri dalam bidang tersebut, dan melaksanakan kursus kepada sesiapa yang berminat.
“Usahawan-usahawan francais yang baru hendak mula perniagaan ini kebiasaannya menghadapi masalah tempat. Untuk itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan membantu mereka dalam hal sewaan ataupun belian tempat itu,” ujarnya lagi.
Basaruddin menyatakan pihaknya telah mengadakan pameran di dalam dan luar negara sebagai usaha mempromosikan perniagaan francais itu.
“Kami baru balik dari Turki, dan apa yang saya lihat, usahawan-usahawan di sana mengetengahkan makanan tradisional mereka dalam bidang francais dan saya harap kita boleh melakukan perkara yang sama.
“Dalam tempoh dua hari ini, saya yakin program ini akan memberi ilmu pengetahuan kepada peserta,” katanya.
Beliau juga berharap masyarakat yang mahu menceburi bidang ini dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dan tidak mudah mengalah walaupun gagal.
Tambah Basaruddin lagi, program tersebut juga merupakan satu langkah untuk meningkatkan ekonomi negara kerana francais berkenaan akan memesatkan perniagaan tempatan.
Sejak dimulakan pada 2011, program berkenaan telah mencatatkan pencapaian anggaran nilai belian francais yang berjumlah RM36.4 juta bagi francais mikro.
Selain itu, ia juga berjaya mencapai sejumlah RM407.6 juta bagi francais makro dengan kejayaan mewujudkan sebanyak 2,464 francaisi mikro yang baharu.
Terdahulu, satu perjanjian persefahaman (MoU) antara francaisor tempatan, Clara International Beauty Group bersama dengan francais induk dari India turut ditandatangani dalam program majlis berkenaan.