Jenayah

‘Ramai pengguna berhati kering’

AJIL – Biarpun memandu laju dan terbabas dikenal pasti antara faktor utama kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2, namun sesetengah pengguna jalan raya bagaikan berhati kering apabila terus melanggar peraturan dengan memandu melebihi had laju dibenarkan.

Dalam tempoh satu jam pertama Operasi Khas Trafik LPT 2 bermula semalam dan berakhir 9 November ini, yang turut melaksanakan pemantauan daripada udara, memperlihatkan sebanyak 65 saman had laju dikeluarkan polis.

Tidak akan kompromi

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang gagal mematuhi had laju dibenarkan khususnya di LPT 2, apatah lagi memandu laju menjadi faktor utama kemalangan.

“Operasi diadakan selama lima hari bermula hari ini (semalam) bagi mengesan pengguna yang mempunyai waran tangkap dan terlibat dalam kes jenayah serta narkotik. Dalam tempoh satu jam pertama operasi, kita kesan 65 pengguna memandu melebihi 110km sejam.

“Selain rondaan cegah kemalangan, perangkap had laju di tempat kerap berlaku kemalangan dan tindakan saman serta-merta, operasi khas ini turut menggunakan helikopter untuk memantau menerusi udara.

“Tetapi walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan sepanjang LPT 2 sejauh 184 kilometer, namun masih ramai pengguna memandu melebihi had laju tanpa rasa bersalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau perjalanan Operasi Khas Trafik LPT 2 pada hari pertama di kawasan Rehat dan Rawat Ajil, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman.

Belum ada keperluan letak balai polis bergerak

Menurut Rosli, operasi khas itu dianggotai pegawai dan anggota trafik kontinjen Terengganu dengan dibantu pegawai dan anggota trafik dari Bukit Aman, melibatkan jumlah keseluruhan seramai 27 pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat.

“Bagi tujuan rondaan, kita menggunakan 10 kereta peronda, 17 motosikal berkuasa tinggi, empat kamera perangkap had laju dan sebuah helikopter. Kamera perangkap had laju akan berubah lokasi bagi tempoh setiap empat jam.

“Pihak polis akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan kes kemalangan maut di LPT dapat dikurangkan. Setakat ini, belum ada keperluan untuk meletakkan balai polis bergerak dan anggota di laluan LPT,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosli memaklumkan, statistik terkini kemalangan di sepanjang LPT 2 dari Ogos 2011 sehingga 3 November lalu, mencatatkan sebanyak 2,026 kes melibatkan 86 kematian.

Menurutnya, bagi tahun ini sahaja bermula Januari hingga 3 November, sebanyak 788 kes kemalangan direkodkan, membabitkan 31 kes kemalangan maut dengan 44 kematian.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 346 kes berpunca daripada laju dan terbabas.

“Justeru, kita harap pengguna tidak hanya melihat ia sebagai angka semata-mata, sebaliknya perlu menjadikannya sebagai pengajaran agar sentiasa berhati-hati dan tidak memandu laju,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");