Jenayah

Rasuah: Bekas CEO Tekun Nasional Didakwa Luluskan Pinjaman Syarikat Menantu

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan didakwa kerana menyalahgunakan kuasa meluluskan permohonan pinjaman program perintis kepada syarikat milik menantunya.

Tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, pagi Khamis dituduh melakukan dua kesalahan di Ibu Pejabat Tekun Nasional di Bandar Tasik Selatan pada 31 Mac 2014.

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebut, pihaknya telah menyiasat kes ini susulan maklumat yang diterima sejak pertengahan tahun lepas.

Abdul Rahim mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Kes bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim, manakala Abdul Rahim diwakili peguam Hasnal Rezua Merican.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Rahim, sebagai pegawai badan awam iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, dituduh telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan iaitu meluluskan permohonan pinjaman program perintis berjumlah RM100,000 kepada syarikat Dynamind Enterprise.

Abdul Rahim mempunyai kepentingan dengan Khairul Fadly Mahammad, pemilik syarikat Dynamind Enterprise, di mana beliau merupakan menantu tertuduh.

Mengikut pertuduhan kedua, Abdul Rahim dituduh meluluskan permohonan pinjaman program perintis RM100,000, juga kepada Dynamind Enterprise dengan mengetahui bahawa anak saudaranya, Khairiyah Khalid merupakan rakan kongsi dalam syarikat itu.

Tertuduh dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau minimum RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan Abdul Rahim diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 16 Disember depan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");