KUALA LUMPUR – Maskot ‘Rimau’ menjadi penyuntik semangat kontigen negara dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah edisi ke-29 Sukan SEA, tahun depan.
Maskot harimau itu dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam, sekali gus menandakan persiapan Malaysia untuk mengulangi pencapaian 111 pingat emas yang diraih 14 tahun lalu kini menghampiri fasa paling penting.
Ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001, kontinjen negara berjaya muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 271 pingat iaitu 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa.
Rimau adalah nama yang diberi kepada maskot rasmi Sukan SEA 2017 dan ia dipilih bersandarkan kepada Harimau Malaya, yang memiliki sifat kuat, namun santun, amat mesra, bersemangat waja serta bertenaga.
Semua ciri-ciri tersebut mewakili atlet Malaysia yang akan bertanding dalam temasya berkenaan
Selain maskot, Khairy juga melancarkan logo, tema serta pendaftaran sukarelawan sukan SEA, sekali gus mengorak langkah awal bagi memulakan kempen menjelang Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan terunggul di rantau ini.
Tema temasya iaitu ‘Komuniti Asia Tenggara Bangkit Bersama Temasya Sukan SEA 2017’ dipilih seiring dengan cabaran terkini dan akan datang yang perlu ditempuhi oleh negara-negara Asia Tenggara sebagai satu komuniti.
“Rantau Asia Tenggara telah melangkah jauh untuk meletakkan dirinya unggul di peringkat antarabangsa dan sudah tiba masanya kita berganding bahu membuka lembaran baharu dalam perjalanan berlandaskan keamanan, kemajuan dan kemakmuran.
“Temasya Kuala Lumpur 2017 akan menjadi Sukan SEA pertama selepas pembentukan Komuniti ASEAN dan sukan akan memainkan peranan penting dalam penyatuan rakyat Asia Tenggara meraikan kejayaan dan semangat setiakawan, selain menyemarakkan lagi tekad menuju kegemilangan.
“Inilah kekuatan dan nilai-nilai sebenar sukan yang akan kita terapkan pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 nanti,” kata Khairy di Esplanade, Suria KLCC di sini, semalam.
Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017, Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh.
Sasaran untuk muncul juara tidak mustahil jika berdasarkan prestasi atlet negara pada Sukan SEA Singapura tahun ini, di mana mereka melepasi sasaran maksimum 184 pingat atau 56 peratus jumlah pingat keseluruhan yang ditetapkan dengan meraih 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa.
Sementara itu, logo temasya iaitu Wau Bulan yang terkenal dimainkan oleh penduduk di Pantai Timur membawa simbol keindahan, kesantunan dan kekuatan.
Kombinasi warna yang digabungkan pada logo berkenaan pula mewakili warna-warni panji-panji semua negara-negara Asia Tenggara, sekali gus melahirkan identiti Kuala Lumpur 2017.
Sasaran penganjur ialah mendapatkan 20,000 sukarelawan. Mereka yang berminat untuk mendaftar boleh melayari laman web temasya di www.seagames2017.com.my.
– utusan