Membawang Hari Ini

Sedia tamat zaman bujang

Dikatakan sudah membuat persiapan perkahwinan, pelakon Johan As’ari, 29, mengakui perkara itu, tetapi bukan kerana sudah bertemu calon isteri dan bersedia menamatkan zaman bujang.

Ketika ditemui baru-baru ini Johan berkata, apa yang dimaksudkan adalah persiapan seorang lelaki yang bersedia berkahwin apabila tiba masanya.

“Sebagai lelaki kita perlu mempersiapkan diri ke arah itu. Rasanya semua lelaki akan melakukan perkara sama.

“Hendak jaga anak orang kita perlu pastikan semua serba cukup termasuklah makan, minum, dan pakaian.

“Banyak benda perlu disediakan jika mahu berkahwin dan itulah persiapan yang saya maksudkan,” katanya.

Sambung Johan, sebagai lelaki yang akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, dia perlu memperkukuhkan ekonomi terlebih dahulu.

Malah, dia bersyukur apabila keluarga tidak mendesaknya supaya segera berkahwin.

“Keluarga nampak matlamat dan usaha saya dalam bidang seni. Mereka menyokong saya.

“Apabila karier semakin stabil, Insya-Allah saya mampu untuk berkahwin. Saya juga tidak menolak andai bertemu jodoh dengan artis.

“Pengalaman lalu tidak buat saya serik untuk menerima rakan artis. Siapa pun jodoh saya nanti, saya terima,” katanya.

Mengulas hala tuju karier selepas pulang belajar agama dari India, Johan berkata, dia tidak membataskan lakonan, namun cuba mengelakkan babak bersentuhan dengan bukan mahram.

“Saya tidak mengehadkan watak, namun jika ada babak bersentuhan akan berbincang dengan pengarah dan pasangan pelakon.

“Saya yakin keputusan dibuat adalah terbaik buat semua orang,” katanya.

Johan turut menzahirkan rasa syukur apabila tawaran berlakon semakin lebat sejak pulang dari India.

“Mula-mula bimbang juga kalau ada yang takut hendak panggil berlakon kerana saya rancak belajar agama.

“Syukur, masih ada yang sudi menawarkan saya kerja. Lebih bermakna hasrat ke Korea bakal terlaksana apabila saya berpeluang menjayakan 13 episod berjudul Cinta Teruna Kimchi.

“Menerusi drama arahan Heykal Hanifah ini saya melakonkan watak lelaki yang mengajar agama di sebuah masjid di Korea,” katanya yang bergandingan dengan Risteena Munim dan Aqasha.

Selain itu, filem Juvana 2 lakonan Johan kini hangat ditayangkan di pawagam tempatan. Manakala empat lagi filem lakonannya yang menanti tayangan adalah Gopeng, Juvana 3, Kanang Anak Langkau dan 7ujuh.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");