Sukan Hari Ini

Sokong pertimbang syarat had usia

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam berpendapat setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu diberikan kebebasan menentukan kesebelasan utama terbaiknya di setiap perlawanan tanpa perlu mewajibkan sebarang had usia pemain.

Katanya beliau menyambut baik cadangan mempertimbangkan semula peraturan mewajibkan dua pemain bawah 23 tahun (B-23) beraksi dalam satu perlawanan namun baginya adalah lebih baik pemain muda yang diturunkan itu layak beraksi secara merit.

“Cadangan itu baik tapi sebenarnya boleh memikirkan beberapa cara lain bagi menggalakkan pembangunan pemain muda setiap pasukan negeri atau kelab.

“Bagi saya. lebih baik pemain yang beraksi dalam skuad utama dipilih berdasarkan merit bukan kerana peraturan semata-mata. Jika pemain muda itu tidak bagus, tapi terpaksa disenaraikan kerana sesuatu peraturan maka pasukan itu tidak dapat menurunkan barisan terbaik mereka.

“Jika mereka ini beraksi bukan kerana merit, mereka ini juga tidak akan dipilih mewakili skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa. Biar pemain muda ini bersaing merebut tempat kerana dengan cara itu mereka akan lebih berusaha meningkatkan prestasi,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada menggesa supaya persatuan bola sepak negeri dan kelab memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda khususnya berusia 19 hingga 23 tahun susulan pembubaran program Harimau Muda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya FAM perlu mempertimbangkan semula peraturan mewajibkan dua pemain B-23 beraksi dalam setiap perlawanan Liga M tahun depan bagi memberi peluang kepada pemain beraksi dalam aksi kompetitif.

Menurut Kevin, tanpa peraturan itu sebelum ini ramai pemain muda sudah mendapat tempat beraksi dalam Liga M termasuk Liga Super.

“Kalau kita teliti, banyak pasukan sudah menurunkan pemain B-23 dalam skuad utama mereka. Pemain ini juga ada yang sudah berada dalam skuad kebangsaan dan mereka mendapat tempat kerana sememangnya layak bersama pasukan.

“Mungkin kita boleh mencadangkan agar ada insentif diberikan kepada pasukan yang menurunkan pemain B-23 selepas ini bagi menggalakkan pasukan menggunakan pemain muda.

“Jika kita memaksa pasukan menggunakan pemain muda, saya rasa tidak sesuai ketika kita mahu bergerak ke arah profesional. Kita mahu pasukan negeri dan kelab terus meningkat sehingga layak beraksi di ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan mereka perlu menurunkan pemain terbaik setiap kali beraksi,” jelasnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");