Perak Hari Ini

SPRM Didik Belia Benci Rasuah

TAIPING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serius dalam usaha membasmi gejala rasuah dalam negara.

Ia dapat dibuktikan melalui penganjuran program ‘Silver Youth Integrity Race’ yang melibatkan golongan belia dengan objektif untuk memupuk nilai benci rasuah pada peringkat awal.

PERAK TODAY 4

Program yang berlangsung di Zoo Taiping tersebut telah disertai oleh seramai 125 peserta dari 10 daerah di negeri Perak yang dipecahkan kepada 25 kumpulan.

PERAK TODAY 5
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, program tersebut merupakan satu pendekatan yang cukup baik kerana ianya melibatkan golongan belia yang juga pewaris negara.

“Ini adalah usaha yang baik untuk mencorakkan mereka yang bakal menjadi pemimpin negara dan menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“Integriti yang tinggi perlu dipupuk untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, jangan mengambil jalan pintas yang menyalahi undang-undang,” ujarnya dalam ucapan perasmian penutupan program tersebut di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, program itu juga selaras dengan persediaan untuk masyarakat dalam mencapai wawasan 2020 yang pasti mempunyai banyak cabaran yang lebih getir.

“Penganjuran program ini memberi persediaan buat anak-anak muda untuk belajar membenci rasuah, dan kita mahu maju dari semua segi sama ada dari segi infrastruktur, ekonomi mahupun jati diri,” tegasnya.

Terdahulu, turut diadakan dalam program berkenaan adalah pertandingan explorace dan mencari harta karun yang telah dimenangi oleh kumpulan dari daerah Larut Matang dan Selama.

Kesemua pemenang tersebut akan dibawa ke Royal Belum oleh pihak SPRM untuk dilatih sebagai mentor belia selama tiga hari dua malam.

PERAK TODAY 8
Pengarah SPRM negeri Perak, Datuk Nooraziah Abdul Manaf

Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri Perak, Datuk Nooraziah Abdul Manaf berkata, jabatannya merupakan peneraju utama dalam kegiatan membasmi gejala rasuah di negara ini.

Jelasnya, penganjuran program seperti ini adalah satu bukti bahawa masyarakat perlu dididik daripada peringkat awal untuk membenci rasuah.

“Untuk rekod, statistik tangkapan yang dibuat SPRM meningkat pada tahun ini tetapi ianya tidak bermakna kes rasuah semakin meningkat, tetapi ianya disebabkan masyarakat yang mula sedar dan memberi kerjasama untuk melaporkan perkara ini kepada kami.

“Kebanyakan tangkapan yang dibuat terdiri daripada orang awam yang terdiri daripada ahli perniagaan, pesara dan lain-lain,” ujarnya.

Peratusan tangkapan sehingga 14 November tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11.48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun 2014, sebanyak 27 orang telah ditangkap iaitu terdiri daripada orang awam seramai 12 orang, penjawat awam (15), gred sokongan (10), dan pengurusan serta professional (5).

Manakala, bagi tahun 2015 pula, rekod menunjukkan seramai 34 orang telah ditangkap iaitu terdiri daripada 15 orang awam, penjawat awam (19), gred sokongan (15), dan pengurusan serta professional (4).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");