Sukan Hari Ini

The Red Giants jangan takut

BERBEKALKAN kemenangan 2-1 menentang Sarawak dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia, Selasa lalu, masih belum cukup untuk menjamin Selangor mara ke pusingan separuh akhir.

Kedua-dua pasukan sekali lagi membuat perhitungan di Stadium Shah Alam dalam aksi kedua suku akhir, malam ini.

Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic menjelaskan, kedudukan itu masih belum selamat buat The Red Giants.

Bagaimanapun, bekas pemain Selangor yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali pada 1995, 1996 dan 1997 itu yakin pasukannya akan mara andai mempamerkan aksi serupa ketika menewaskan Bujang Senang di Stadium Negeri.

“Saya yakin perlawanan malam ini akan menjadi aksi yang sengit kerana Sarawak akan berjuang untuk menghalang kami.

“Namun saya tetap yakin kami akan mara ke pusingan berikutnya, andai pemain mempamerkan semangat juang yang sama ketika menumpaskan Sarawak.

“Saya juga memberi nasihat agar mereka tidak takut, perlu berkeyakinan dan tidak buat sebarang kesilapan dalam aksi itu nanti,” katanya.

Menurutnya, melalui latihan ringan yang dijalankan semalam, dia menilai kesemua pemainnya berkeyakinan untuk aksi malam ini.

“Semua pemain sudah bersedia. Mereka bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya.

Durakovic juga dengan penuh yakin menjelaskan pasukannya mampu mengembalikan kegemilangan Selangor dan cuba merangkul gelaran Piala Malaysia buat kali ke-33.

“Mereka sudah membuktikan yang terbaik musim ini. Kami menghuni tangga kedua Liga Super dan kembali beraksi ke Piala AFC 2016,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");