Jenayah

Tiada air punca api merebak

KUALA TERENGGANU – “Saya ingatkan terlupa tutup dapur gas, rupanya bau asap yang terlalu kuat itu datang dari arah rumah kosong berhampiran,” kata Noor Azman Hussin, 52, mangsa kebakaran di Kampung Aur, Jalan Dato’ Isaac, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, rumah didiami tujuh beranak termasuk Noor Azman musnah sama sekali dijilat api, dipercayai berpunca daripada kebakaran kecil di rumah kosong berhampiran.

Menurut Noor Azman yang juga kakitangan Jabatan Arkib Negara (Terengganu), sebelum kejadian, dia baru sahaja hendak masuk tidur selepas selesai menonton televisyen.

Bagaimanapun katanya, tiba-tiba dia terhidu bau asap yang sangat kuat dan menyangkakan terlupa tutup dapur gas sebelum bergegas ke dapur, namun ketika itulah dia ternampak api dari rumah kosong berhampiran yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

“Saya terus ke rumah kosong itu dan ketika masuk ke dalam rumah, saya nampak api kecil sahaja dari salah sebuah bilik dan hanya beberapa helaian kertas terbakar.

“Saya bergegas mencari air tetapi malangnya rumah berkenaan tidak ada punca air sebelum saya menjerit meminta tolong dari rumah jiran berhampiran, tetapi ketika itu memang langsung tidak ada punca air.

“Jadi, ketika kalut mencari air itulah, api merebak dan saya terus berlari balik ke rumah mengejutkan ahli keluarga lain agar keluar dari rumah kerana yakin api tersebut akan merebak ke rumah kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Noor Azman berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barang-barang serta dokumen penting kerana ketika itu hanya difikirkan nyawa masing-masing yang perlu diselamatkan.

Jelasnya, meskipun kehilangan rumah yang berusia hampir 70 tahun itu sekelip mata, namun dia bersyukur kerana semua nyawa ahli keluarganya selamat.

“Buat sementara waktu ini, kami menumpang di rumah salah seorang saudara kerana memang kami tiada tempat lagi untuk berteduh.

“Jadi, kalau boleh kami merayu kepada pihak berkenaan agar dapat membantu kami mendapatkan rumah baru dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulbahry Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.31 tengah malam sebelum 19 anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati dua buah rumah iaitu rumah pertama berpenghuni manakala rumah kedua kosong tiada penghuni sedang terbakar.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 12.54 tengah malam, namun kedua-dua rumah itu gagal diselamatkan. Bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zulbahry berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");