Jenayah

Tiga keluarga ditipu pemaju

POKOK SENA – Hasrat tiga keluarga di Kampung Bukit, Jalan Naka di sini untuk menduduki rumah baharu tidak kesampaian apabila projek perumahan yang dimohon terbengkalai gara-gara ditipu pemaju.

Projek perumahan itu didakwa dipantau Jabatan Perumahan Negara di bawah Perumahan 1Malaysia dengan kos sebanyak RM45, 000 bagi membantu masyarakat yang berpendapatan rendah terutamanya di kawasan luar bandar.

Sikap dolak-dalik pemaju yang dilantik oleh tuan tanah menyebabkan pemiliknya menanggung kerugian apabila geran tanah mereka dicagarkan kepada bank bagi pembinaan projek tersebut.

Mangsa, Rosani Bakar, 53, berkata, dia sekeluarga sangat sedih apabila hasrat mereka untuk menduduki rumah baharu tidak kesampaian akibat masalah itu.

Menurutnya, dia berminat untuk membina rumah itu selepas mendapat maklumat bahawa ada skim bantuan kerajaan bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah.

“Ketika saya ke Wisma Persekutuan di Anak Bukit terdapat borang perumahan di sebuah koperasi di bangunan itu dan mengambilnya.

“Tiba-tiba datang seorang lelaki dan telah memberi penerangan mengenai skim perumahan itu malah mengaku sebagai pemaju dilantik kerajaan. Dia tawarkan diri untukmencari kontraktor,” katanya.

Rosani berkata, selepas diberi penerangan, dia dan adiknya berminat untuk membina rumah baharu walaupun terpaksa meletakkan geran tanah sebagai cagaran.

Jelasnya, mereka yakin dengan pemaju kerana jaminan projek itu akan mendapat bantuan kerajaan.

“Melalui skim perumahan itu terdapat lima fasa pembayaran yang perlu dilakukan dan saya sempat membayar hingga ke fasa ketiga sebanyak RM31,500 kepada pemaju,” katanya.

Rosani berkata, mengikut prosedur apabila tamat fasa pembinaan terdapat seorang juruteknik dari Jabatan Perumahan Negara, Putrajaya akan turun bagi menilai kerja pembinaan rumah itu.

“Rumah itu dijanjikan akan siap sepenuhnya dalam masa tujuh bulan.

“Bagaimanapun selepas fasa ketiga pemaju itu tidak pernah lagi datang melihat rumah kami malah kontraktor berkenaan menghilangkan diri,” katanya.

Rosani cuba menghubungi pihak berkenaan dan selepas menjejaki pemaju itu, dia dihalang pula untuk berjumpa dengan lelaki berkenaan.

“Selepas berjaya menghubunginya dia mengarahkan supaya saya sendiri meneruskan pembinaan rumah itu. Kini sudah tiga tahun rumah saya terbengkalai dan dinding rumah pun semakin berlumut serta besi bumbung pula semakin berkarat,” katanya.

Akibat kecewa dengan tindakan pemaju itu dia telah membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena supaya pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu.

Terpaksa tumpang rumah ibu

Manakala adik Rosani yang turut menjadi mangsa, Rosli Bakar, 46, kecewa dengan pihak pemaju yang kini seolah-olah melepas tangan hingga menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menumpang rumah ibunya.

Menurutnya, dia dan Rosani turut menghubungi Jabatan Perumahan Negara bagi mengetahui kedudukan pembinaan rumah mereka.

“Selepas saya menghubungi pihak berkenaan mereka memaklumkan supaya berunding terlebih dahulu dengan pemaju itu dan membuat laporan kepada polis jika pihak berkenaan masih ingkar. Pihak Jabatan Perumahan Negara tidak bertanggungjawab dengan kes berkenaan,” katanya.

Rosli turut bimbang jika tanah miliknya yang dicagarkan akan dilelong kerana tidak mampu membayar kembali wang cagaran.

“Pendapatan saya hanya RM300 sebulan sebagai penoreh getah malah saya menanggung dua anak orang kurang upaya (OKU). Macam mana saya nak bayar wang cagaran kepada bank,” katanya.

Rosli berkata, mereka tertipu dengan projek perumahan itu dan lebih malang lagi geran tanah sudah dicagarkan kepada bank.

Seorang lagi mangsa, Deris Mat Isa, 66, dari Kampung Baru, Mukim Lesong berkata, dia kecewa dengan tindakan pemaju yang menyebabkan rumahnya terbengkalai.

Jelasnya, pemaju yang sama juga menyebabkan mereka mengalami nasib yang malang apabila rumahnya hanya siap pada fasa ketiga.

“Lebih malang lagi rumah saya belum lagi dipasang kerangka bumbung rumah dan pihak pemaju semasa dihubungi mengarahkan saya sendiri memasangnya.

“Pemaju itu sehingga kini sudah menghilangkan diri dan saya berharap pihak berkuasa dapat bantu orang kampung yang teraniaya sepertinya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Datuk Yusoff Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sudah pun menerima beberapa kes rumah terbengkalai melalui projek yang dikatakan di bawah Jabatan Perumahan Negara.

Katanya, kes itu semakin terserlah selepas beberapa rumah terbengkalai melalui projek itu dan meminta mangsa tampil membuat laporan polis supaya pihaknya dapat membawa kes ini peringkat tribunal.

“Saya mengesyorkan supaya pemilik rumah perlu berhati-hati memilih pemaju atau kontraktor yang bertanggungjawab serta mempunyai kewangan yang kukuh.

“Kes seperti ini disebabkan pemaju berkenaan tidak mempunyai pengalaman serta mempunyai masalah kewangan,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");