Jenayah

Viral itu palsu!

Sitiawan: “Dari malam Rabu apabila mesej itu tersebar hingga hari ini (semalam), ramai yang menghubungi saya untuk melahirkan rasa simpati, namun ‘viral’ itu adalah palsu,” kata Azmir Mohd Yusof.

Azmir, 29, adalah lelaki yang dikatakan bapa kepada seorang bayi berusia 12 bulan yang diculik individu menaiki kereta Proton Satria berwarna merah yang menjadi viral di aplikasi WhatsApp.

Mesej itu menyatakan seorang bayi berusia 12 bulan dilarikan di kawasan Batu 10, Lekir, di sini, dan meminta orang ramai menghebahkannya ke semua kumpulan aplikasi WhatsApp seluruh Malaysia, malah turut meletakkan nombor telefon Azmir yang didakwa bapa kepada bayi itu.

Azmir berkata, mesej itu dihantar seorang rakannya di dalam kumpulan aplikasi itu hanya sekadar gurauan dan tidak menyangka ia tersebar sehingga menjadi viral.

“Mesej ini dihantar sebulan lalu hanya untuk mengusik saya dan tidak menganggap ia sesuatu yang serius memandangkan kami hanya bergurau di dalam kumpulan WhatsApp kami saja.

“Rakan yang menghantar mesej itu ada menyatakan ia hanya gurauan di akhir mesej. Mesej yang tersebar ini adalah mesej yang sama cuma pesanan ia adalah gurauan sudah dipadam dan kami tidak mengetahui siapa yang menyebarkan mesej ini kembali,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 10 Lekir, di sini, semalam.

Menurutnya, dia masih belum berkahwin dan tidak mempunyai anak serta apabila mesej itu tersebar, terdapat penduduk kampung yang menemuinya bagi bertanyakan hal sebenar sehingga menyebabkan ahli keluarganya terkejut.

“Apabila orang ramai menghubungi, saya menceritakan perkara sebenar dan mereka menasihati supaya melaporkan kepada polis oleh kerana risau berlaku sesuatu lebih buruk, saya membuat laporan polis kerana nombor pendaftaran kereta yang didakwa melarikan bayi itu memang kereta saya.

“Saya memohon maaf kepada semua di atas penyebaran mesej palsu ini dan berterima kasih kepada orang ramai yang menasihati saya. Ini dijadikan pengajaran dan kami akan lebih berhati-hati dalam bergurau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah mengesahkan mesej yang menjadi viral itu adalah tidak benar.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");