TANJONG RAMBUTAN: Seramai 376 pelajar di negeri ini telah berjaya menamatkan pengajian mereka bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Sijil berkenaan telah diberikan dalam Majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Sri Perdana Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, di sini, tengah hari tadi.
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa turut berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Nidzam Kamaruzzaman berkata, para pelajar telah didedahkan dengan sistem pembelajaran yang berbeza.
“Pelajar didedahkan dengan 70 peratus praktikal, dan 30 peratus adalah teori. SLDN lebih memberi penekanan kepada amali.
“Salah satu cara yang diperkenalkan kepada pelajar ialah syarikat-syarikat ini bekerjasama dengan industri,”ujarnya dalam sidang media selepas istiadat konvokesyen tersebut.
Tambahnya lagi, kebanyakan pelajar yang menyertai program SLDN tersebut adalah kerana mereka lebih gemar kepada bidang kemahiran yang mereka minati.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pusat Bertauliah SLDN Perak, Suriyanj Sadri berkata, kebanyakkan graduan daripada program ini telah diterima bekerja di dalam industri.
“Sekitar 70 peratus graduan terus diserap masuk atau diterima bekerja di dalam industri masing-masing. Ada juga diantara mereka diserap sebagai tenaga pengajar atau mereka boleh bergerak sendiri.
“Jika mereka bergerak sendiri, mereka akan tetap berinteraksi dengan tenaga pengajar mereka yang dahulu sebagai tempat rujukan,”ujarnya.
Tambahnya lagi, pelajar yang ingin bergerak sendiri akan turut dibantu oleh Pusat Latihan Bertauliah melalui agensi-agensi kerajaan seperti TEKUN dan MARA.
Mengulas lanjut, di Perak sahaja, terdapat 37 Pusat Latihan Bertauliah, tetapi hanya 20 pusat yang menyertai istiadat konvokesyen pada kali ke empat ini.
“Ada syarikat yang belum bersedia lagi, dan ada juga yang belum tamat peperiksaan,”ujarnya.
Majlis istiadat konvokesyen itu disempurnakan oleh Nidzam bagi sidang pertama dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.