Sukan Hari Ini

5 pasukan Liga Super terima padah

Kuala Lumpur: Lima pasukan – Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor – menerima padah angkara penyokong pada perlawanan Liga Malaysia apabila masing-masing dikenakan denda Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Persatuan Bolasepak Perak dan Kedah menerima hukuman paling tinggi apabila masing-masing terpaksa membayar RM15,000 atas kesalahan berulang penyokong kedua-dua pasukan membakar mercun, suar dan membaling botol minuman di bawah Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015. Kedua-dua pasukan turut diberikan amaran keras.

Penyokong Bos Gaurus melakukan kesalahan itu ketika perlawanan Piala Malaysia antara Perak dengan Johor DT di Stadium Perak, Ipoh pada 5 November lalu.

Tindakan liar penyokong Helang Merah pula dikesan pada perlawanan Piala Malaysia antara FELDA United menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 2 Disember lalu.

Terengganu juga tidak terlepas daripada tindakan atas kesalahan berulang penyokong mereka yang membakar suar dan mercun ketika aksi Piala Malaysia sewaktu melayan kunjungan LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 4 November dan dikenakan denda RM12,000.

Jawatankuasa Tatatertib FAM juga menjatuhkan hukuman terhadap pasukan juara Piala Malaysia Selangor susulan tindakan penyokong mereka menceroboh masuk ke padang selepas perlawanan menentang Pahang di Stadium Shah Alam pada 6 Disember lalu.

Pihak persatuan negeri dipertanggungjawabkan terhadap kelakuan penyokong itu dan didenda RM7,500.

Namun, nasib Johor DT lebih baik apabila hanya dikenakan denda RM5,000 kerana ia kesalahan pertama penyokong Harimau Selatan menceroboh masuk ke padang selepas aksi Liga Super sewaktu berdepan FELDA United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 22 Ogos.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");