Berita Hari Ini

700 kes tanah runtuh dilapor sepanjang tahun

KUALA LUMPUR – Sebanyak 700 kes tanah runtuh dan kegagalan cerun dilaporkan sepanjang tahun ini yang majoritinya disebabkan oleh faktor hujan lebat luar biasa, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata?, daripada jumlah itu, sebanyak 410 kes berlaku di koridor jalan persekutuan manakala bakinya 290 kes di jalan negeri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Senator Datuk S. Vigneswaran berhubung tindakan pihak berkuasa dalam mengatasi masalah tanah runtuh.

Menjawab soalan tambahan Vigneswaran, Rosnah berkata Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bekerjasama untuk membangunkan sistem amaran awal tanah runtuh di kawasan cerun yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Objektif jalinan kerjasama ini ialah untuk mengkaji hubungan secara empirikal antara corak taburan hujan dan intensiti yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

“Berdasarkan perancangan, keseluruhan sistem amaran awal tanah runtuh itu dijangka disiapkan pada tahun 2018,” katanya.

Sehubungan itu, Rosnah turut menjelaskan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kementerian bagi memantau kawasan-kawasan bercerun dan lereng-lereng berbukit di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan.

Antaranya ialah Sistem Pemantauan dan Amaran Awal secara tepat masa yang dipasang oleh syarikat konsesi lebuh raya utama serta menggunakan tolok hujan dan piezometer yang dipasang di cerun-cerun berisiko tinggi, katanya.

Selain itu, katanya, ‘Pemetaan Cerun’ dengan menggunakan teknologi LIDAR (Light Detection and Ranging) iaitu maklumat berkaitan inventori dan profil cerun-cerun akan dititikberatkan.

Rosnah turut menjelaskan bahawa kajian kejuruteraan geoteknikal dan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan secara berkala dan tetap untuk cerun-cerun berisiko tinggi dan menunjukkan tanda-tanda kegagalan cerun.

Katanya, berdasarkan Kajian Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang telah dilaksanakan oleh JKR, terdapat 4,851 cerun di sepanjang jalan persekutuan dan lebuh raya yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi di seluruh negara.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");