Berita Hari Ini

Agensi bantuan bencana bersiap sedia

KUCHING – Kira-kira 1,000 anggota serta sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak bersedia digerakkan dalam tempoh tiga hingga empat jam pertama jika banjir teruk melanda negeri itu.

Pengarahnya Kol (PA) Mohtar Samat berkata semua anggota serta sukarelawan JPAM Sarawak dari Kuching hingga ke Limbang sudah menerima latihan persediaan menghadapi banjir dan bencana yang dijalankan pada November lalu.

“Mereka sudah menerima latihan menghadapi sebarang kemungkinan bencana di negeri ini. Daripada segi kelengkapan, kita juga telah bersedia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohtar berkata JPAM Sarawak yang turut menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan
seperti bomba, polis dan juga Residen seluruh negeri agar sebarang bentuk bantuan semasa bencana dapat dipermudahkan.

“JPAM Sarawak juga telah mendapatkan persetujuan daripada institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaysia Sarawak dan Kolej Komuniti
supaya sukarelawan mereka akan turut membantu apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya pihak berkuasa memberi tumpuan serta melakukan persiapan sewajarnya terhadap kemungkinan banjir teruk melanda Sarawak.

Semalam Ahmad Zahid dilaporkan berkata arahan itu dikeluarkan berdasarkan ramalan kaji cuaca, banjir di Sarawak adalah teruk tahun ini manakala keadaan sebaliknya di Pantai Timur Semenanjung.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir.

Katanya sejumlah 52 bot dan 15 lori untuk pengangkutan serta dua helikopter juga sudah bersedia untuk digerakkan apabila berlaku bencana di negeri itu.

“Jabatan ada 1,100 pegawai dan anggota yang boleh digerakkan apabila berlaku bencana. Semua kelengkapan seperti bot, lori dan helikopter juga berada dalam keadaan baik dan boleh terus digerakkan apabila berlaku sebarang bencana,” katanya.

Ditanya sama ada sebarang arahan pembekuan cuti di kalangan pegawai dan anggota dikeluarkan, Nor Hisham berkata pergerakan pertukaran jadual bertugas serta pembekuan cuti adalah bergantung kepada keadaan.

Pada 12 November lalu Bernama melaporkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang semasa mempengerusikan JPBN Sarawak berkata persiapan awal melibatkan semua agensi berkaitan sudah dilakukan mengikut perancangan masing-masing dengan mengambil kira pengalaman lalu.

Jabu berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti 610 pusat pemindahan banjir di samping 25 pangkalan hadapan di seluruh Sarawak yang boleh dibuka pada bila-bila masa apabila keadaan memerlukan.

Menteri Kebajikan, Wanita, dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata bekalan makanan kering akan mula ditempatkan di 25 pangkalan hadapan sebagai persiapan awal dalam usaha membantu mangsa banjir apabila diperlukan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");