Berita Hari Ini

‘Ali Tinju wajar dipecat’

SEREMBAN – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan menyokong tindakan tegas diambil terhadap Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju yang disifatkan telah mencemarkan imej dan nama baik persatuan terbabit.

Timbalan Yang Dipertuanya, Adnan Ahmad berkata, tindakan perlu diambil termasuk memecatnya daripada menjadi ahli persatuan.

Beliau berkata, setiap tindak tanduk Ali langsung tiada kaitan dengan persatuan dan apa yang dilakukannya selama ini hanya atas dasar peribadi.

“Kita pun tak pasti apa motif sebenar dia tapi kita percaya dia ada agenda tersendiri. Apa pun yang dia nak buat, jangan kaitkan dengan persatuan dan jangan gunakan platform persatuan.

“Tapi ramai ahli veteran dan media terkeliru seolah-olah apa yang ditimbulkan dan diperjuangkan Ali itu adalah daripada PVATM. Ini telah merosakkan nama persatuan yang sememang dikenali sebagai kumpulan berhemah dan mempunyai nilai disiplin tinggi,” katanya.

Beliau berkata, paling mengecewakan apabila Ali membuat serangan peribadi terhadap Presiden PVATM, Laksamana (B) Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor selepas tidak berpuas hati ditegur berkaitan tindakannya yang dilihat sering menjatuhkan imej persatuan.

Menurutnya, kata-kata yang dilemparkan Ali terhadap Mohd Anwar juga dianggap biadab dan sangat keterlaluan seperti memberi gambaran persatuan itu langsung tidak memberi jasa.

“Janganlah cuba nak jadi hero veteran pula. Kita pun hairan kenapa masih ada kumpulan tertentu yang menyokongnya sedangkan dia telah membuat beberapa tindakan kontroversi bermotifkan perkauman,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, Adnan berharap kepimpinan tertinggi PVATM dapat mengambil tindakan dengan memecat Ali dari persatuan kerana jelas melanggar perlembagaan dan peraturan-peraturan pentadbiran persatuan, sekali gus menggelakkan imej persatuan itu dipandang negatif.

“Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sebelum perkara menjadi lebih buruk, lebih cepat ambil tindakan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");