Jenayah

‘Allahuakbar! Rumah terbakar’‘Allahuakbar! Rumah terbakar’

GUAR CHEMPEDAK: “Allahuakbar! Allahuakbar! Rumah aku terbakar,” jerit seorang mangsa kebakaran sebaik menyedari pondok wakaf yang didiaminya sejak empat tahun lalu terbakar kelmarin.

Fatimah Din, 69, hanya menyedari kebakaran itu setelah terdengar bunyi seakan-akan percikan api sebelum bekalan elektrik terputus.

“Semasa kejadian, semua orang (pelajar pondok) sedang menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan. Hanya makcik seorang tinggal dalam rumah sebab tidak berapa sihat.

“Tiba-tiba makcik terdengar bunyi seolah-olah percikan api di tingkat atas rumah sebelum terbau hangit. Kemudian bekalan elektrik pula terputus,” katanya ketika menceritakan semula detik cemas mengenai kebakaran di Pondok Haji Hussein Che Dol, di sini, semalam.

Beliau kemudian memberanikan diri ke tingkat atas untuk melihat bunyi percikan itu sebelum dikejutkan dengan api yang sedang marak.

“Makcik naik atas tengok lantai semua dah merah. Makcik tak sempat nak selamakan apa-apa dan hanya mampu menjerit minta tolong.

“Kemudian ada orang kampung datang selamatkan makcik. Api marak terlalu cepat. Makcik nampak kebakaran itu merebak ke rumah sebelah sebelum ke rumah lain di belakang,” katanya.

Anak sulung dari lima beradik itu mengakui ia adalah peristiwa yang tersimpan 1,001 perasaan dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kebakaran kira-kira jam 6.10 pagi itu turut menyebabkan kemusnahan lapan pondok wakaf yang dibina sejak puluhan tahun lalu.

Pondok wakaf itu menghimpunkan lapan pelajar terdiri dari warga emas yang berminat untuk mendalami ilmu agama khususnya berkaitan solat, pengajian kitab, al-Quran dan tajwid.

Hashim Saad, 84, yang merupakan satu-satunya mangsa tunggal lelaki memberitahu tidak dapat menyelamatkan sebarang pakaian dan dokumen penting.

“Saya datang sini dengan isteri, Maimunah Yusof, 73 untuk belajar ilmu agama. Masa kejadian kami sedang solat di masjid.

“Sebaik dimaklumkan kebakaran itu, kami pun balik ke pondok untuk menyelamatkan barang-barang penting. Tapi api marak terlalu cepat,” katanya.

Beliau berkata, hanya kad pengenalannya yang mampu diselamatkan manakala kad pengenalan isteri, buku bank dan pakaian musnah dalam kebakaran itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan pusat pengajian Islam itu musnah dalam kebakaran selain api marak dengan cepat berikutan kebanyakan bahan asas binaan terdiri dari kayu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");