Kuala Lumpur: Kedudukan Arul Selvaraj dalam Skuad Projek 2016 masih belum berakhir apabila Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberi pandangan betapa khidmatnya masih diperlukan.
Menurut Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Ow Soon Kooi, Arul berkemungkinan bakal menggalas tugas baharu bersama pasukannya di dalam skuad pembangunan senior selepas ini namun sebarang keputusan hanya akan diputuskan ketika mesyuarat lembaga eksekutif bakal diadakan dua minggu lagi.
“Kami perlukan khidmatnya (Arul),” kata Soon Kooi kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.
“Kami akan serapkannya dalam perancangan MHC tetapi mungkin di tempat lain. Kami sudah membuat keputusan tetapi ia perlu diputuskan oleh lembaga eksekutif MHC,” katanya.
Kata Soon Kooi, MHC perlu memikirkan perancangan terbaik untuk pasukan ini selepas objektif utama Skuad Projek 2016 melayakkan diri ke Piala Remaja Dunia tahun depan gagal selepas kecundang dalam Piala Remaja Asia di Kuantan bulan lalu.
“Oleh kerana pasukan gagal layak, kami perlu melakukan rombakan daripada sudut pasukan dan juga jurulatih tetapi skuad ini akan dikekalkan,” katanya.-harian metro