JAKARTA, INDONESIA: Sekurang-kurangnya 16 penumpang termasuk pemandu bas mini Metromini terbunuh apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh komuter berhampiran Stesen Angke, Jakarta Barat, semalam.
Menurut polis, bas mini tersebut dirempuh ketika cuba melintasi rel di laluan Kalideres-Grogol dalam kejadian jam 8.48 pagi (waktu tempatan).
Akibat rempuhan tersebut, bas mini berkenaan remuk setelah diseret sejauh 400 meter.
Difahamkan, kesemua penumpang komuter berkenaan selamat.
“Ketika kejadian terdapat 24 penumpang dalam bas mini tersebut,” kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, JA Barata.
Menurut saksi di tempat kejadian, bas mini itu dipandu laju dan cuba memasuki kawasan lintasan meskipun halangan telah diturunkan.
Mangsa yang cedera dihantar di dua hospital berasingan di pusat bandar Jakarta.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan menyalahkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama kerana gagal membendung lambakan bas mini di bandar tersebut.
“Saya minta gabenor supaya lebih tegas dalam pemberian lesen kepada pengusaha bas mini,” katanya ketika mengulas kemalangan maut tersebut. – Antara
Bomba dan pasukan penyelamat mengalihkan bangkai bas mini yang dirempuh komuter di Jakarta Barat, semalam. – Foto: AFP
-Sinar Harian