NIBONG TEBAL: Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan menuju ke Kangar, Perlis terbalik di Kilometer 167.7 Lebuhraya Utara Selatan dalam kejadian pagi semalam.
Bagaimanapun, 23 penumpang termasuk dua pemandu dalam bas itu terselamat.
Jurucakap polis berkata, bas dari Larkin, Johor dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal secara tiba-tiba memasuki ke laluannya sebelum terbabas dan terbalik kira-kira jam 6 pagi.
“Kesemua penumpang dan pemandu bas berjaya menyelamatkan diri. Kebanyakannya hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan penumpang sedang tidur dan hanya sedar ketika bas itu terbalik.
-Sinar Harian