Laporan Eksklusif

Berdepan Hukuman Kerana Bunuh Perompak: Netizen Lahirkan Rasa Simpati

Foto:- Facebook ‘Selamatkan Zulkifli’

KERTEH: Kisah seorang lelaki yang dikenali sebagai Zulkifli yang tanpa sengaja ‘membunuh’ seorang perompak kerana ingin mempertahankan keselamatan keluarganya menjadi viral di media sosial, terutamanya Facebook.

Ia telah mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna (netizen) di seluruh tanah air.

Zulkifli kini didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ia mengundang seribu satu rasa daripada netizen yang turut bersimpati dengan nasib bapa malang itu dan menuntut agar nasib beliau dibela.

Terdapat juga segelintir pengguna media sosial mempertikaikan penahanan Zulkifli kerana berpendapat bahawa beliau bertindak sedemikian kerana ingin mempertahankan dan melindungi keluarganya daripada perompak yang telah menceroboh ke rumahnya.

Sebelum ini, lelaki yang berusia 50 tahun itu dikatakan telah didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM15,000.

Beliau kemudiannya hadir ke mahkamah pada Ahad lalu untuk sebutan kesnya dan ditahan semula serta didakwa di bawah Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan.

Zulkifli kini ditahan reman selama 26 hari sebelum hari perbicaraan yang dijadualkan pada 24 Januari ini.

Beliau ketika didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah ditahan reman selama 14 hari dan oleh kerana itu, keluarganya tidak dapat berniaga makanan dan dikhabarkan, rumahnya turut dicerobohi.

Sebagai tanda sokongan kepada Zulkifli, netizen kemudiannya telah mewujudkan satu laman Facebook atas nama ‘Selamatkan Zulkifli’ yang sehingga jam 12 tengah malam ini telah memperolehi sekitar 40,000 ‘Like’,

Sementara itu, seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menerusi satu kenyataan yang diviralkan di laman Twitter berkata, mempertahankan diri dan maruah keluarga sememangnya adalah satu pembelaan bermerit yang dibenarkan di dalam Kanun Keseksaan walaupun ketika mempertahankan diri, mangsa telah menyebabkan kematian orang lain.

“Tetapi fakta ini tak boleh diselesaikan di Facebook. Zulkifli perlu juga menjalani proses tahanan reman, pendakwaan dan perbicaraan sehinggalah hakim yang membicarakan kes itu memutuskan beliau tidak bersalah kerana mempertahankan diri dan keluarga dari rompakan.

“Tempoh masa perbicaraan pula boleh selesai dalam tempoh satu tahun. Disebabkan kes yang dituduh terhadap Zulkifli ini adalah kes bunuh, maka peguam yang akan mewakili beliau nanti adalah peguam lantikan mahkamah,” katanya.

Tambahnya lagi, keluarga Zulkifli tidak perlu mencari wang untuk mencari peguam bagi membela beliau kerana kerajaan sememangnya menyediakan peguam percuma jika tertuduh menghadapi kes yang melibatkan hukuman gantung.

Khairul Azam turut berkata, disebabkan itu, sudah menjadi tanggungjawab warganegara di Malaysia membantu bagi meringankan beban keluarga Zulkifli.

Mengulas lanjut, rakyat tidak seharusnya mengkritik sistem kehakiman negara kerana apa yang dilalui oleh Zulkifli adalah satu prosedur biasa.

“Memang dia (Zulkifli) tidak bersalah tetapi disebabkan membunuh itu satu jenayah, maka dia tetap kena menghadap hakim dan melalui proses bicara.

“Cuma sebab beliau mempertahankan diri dan keluarga, maka mudahlah peguam yang akan mewakili beliau nanti menimbulkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan seterusnya membebaskan Zulkifli,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");