Sukan Hari Ini

Beregu akhiri badi gelaran

Kuala Lumpur: Goh V Shem-Tan Wee Kiong akhirnya menamatkan badi kejuaraan apabila merangkul gelaran pertama pada Grand Prix (GP) Terbuka Amerika Syarikat, semalam.

Pasangan beregu negara yang bergelut mencari rentak konsisten sejak tahun lalu mengejutkan pilihan pertama dari Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 21-14, 21-17 pada perlawanan yang memakan masa 27 minit.

Ia gelaran pertama buat V Shem-Wee Kiong di peringkat antarabangsa sejak digandingkan pada Piala Thomas tahun lalu.

Pasangan negara itu sebelum ini berjaya membantu kontinjen negara meraih emas pada Sukan Komanwel Glasgow dan gangsa Sukan Asia sebelum menang di California.

Bagi V Shem kemenangan itu meningkatkan tahap keyakinannya untuk meneruskan rentak cemerlang bagi melayakkan diri beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio.

Katanya, ketika ini mereka terpaksa bersaing dengan bekas beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

“Ia satu kemenangan yang cukup menggembirakan apabila kami merangkul gelaran antarabangsa pertama. Kini kami boleh membina kembali keyakinan dan berharap dapat beraksi dengan konsisten selepas ini.

“Kami membuat persediaan rapi untuk berdepan pasangan Russia itu dan kami tidak menjangka akan menang dalam tempoh kurang setengah jam.

“Saya percaya komunikasi antara saya dan Wee Kiong semakin baik,” kata V Shem.

Kemenangan itu membolehkan pasangan negara yang menduduki ranking ke-15 dunia itu membawa pulang AS$3,950 (RM17,000) manakala Ivanov-Sozonov pula meraih AS$1,900 (RM8,000).

V Shem-Wee Kiong meletakkan sasaran untuk terus cemerlang dengan merangkul kejuaraan GP Mexico bermula esok.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");