Sukan Hari Ini

Devan tidak mahu terburu-buru

KETIKA kebanyakan pasukan lain begitu ghairah memburu awang import, Kelantan pula dilihat sangat perlahan memilih pemain asing bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bagi pengendali The Red Warriors, K Devan, dia tidak gusar dengan perkembangan tersebut memandangkan saingan Liga-M hanya akan membuka tirainya pada pertengahan Februari tahun depan.

“Kita ada banyak masa lagi untuk menguji pemain import. Sebenarnya tidak ada yang perlu dibimbangkan kerana perancangan (melengkapkan) senarai pemain tempatan hampir selesai dan sekarang kita hanya fokus untuk mencari pemain import.

“Kita akan membuat penelitian cukup rapi mengenai perkara ini dan Kelantan tidak akan tergesa-gesa menandatangani mana-mana pemain import dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika ini, Kelantan sedang menguji penyerang Nigeria, Christopher Omoseibi Elijah, manakala seorang lagi pemain yang beraksi di posisi tengah dari negara sama, David Nworah telah pulang, minggu lalu.

Menurut Devan, dia menggariskan tiga kriteria utama bagi memastikan setiap awang import yang dipilih memenuhi syarat ditetapkan setelah sedar skuad pantai timur itu berdepan kecaman peminat berikutan tersalah membeli pemain sejak dua musim lalu.

“Pertama, pemain itu sendiri kena ada kemahiran, kedua, mesti bekerja keras untuk pasukan dan ketiga, mempunyai semangat berpasukan.

“Itu ciri-ciri yang saya lihat perlu ada pada seseorang pemain import jika mahu mewakili pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 54 tahun itu memberitahu, dia lebih menumpukan usaha meningkatkan stamina anak buahnya dalam latihan fasa pertama yang berlangsung ketika ini.

“Sekarang 40 hingga 50 peratus (tahap kecergasan).

“Proses peningkatan fizikal perlu dilipat gandakan dalam fasa ini dan bila saya sudah mendapat pemain import, barulah saya boleh fokus kepada posisi pemain dan taktikal pasukan ini,” katanya.

Menurutnya, pemain naturalisasi, Brendan Gan dan pertahanan import, Jonathan McKain telah kembali menjalani latihan, manakala dua penyerang, Mohd Norfarhan Muhammad dan Abdul Manaf Mamat dijangka berbuat demikian, bulan depan.

“Ada satu atau dua pemain tempatan lain lagi akan masuk (menyertai) pasukan ini tetapi saya belum dapat sahkan setakat ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");