Sukan Hari Ini

Dhaarma tuntut kelibat Nadia

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih baru skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berhasrat memanggil semula bekas kapten negara Nadia Abdul Rahman bagi membantunya menghadapi program tahun depan dengan misi utama membantu Malaysia layak beraksi di Piala Dunia 2018 buat kali pertama.

Bekas ketua jurulatih skuad senior lelaki negara yang pernah membimbing pasukan beraksi di Piala Dunia tahun lalu berkata, kehadiran Nadia pastinya akan memberi suntikan baru kepada skuad wanita negara.

Nadia mengambil keputusan berehat seketika daripada skuad kebangsaan awal tahun ini kerana mahu memberi tumpuan kepada kelahiran cahaya mata sulungnya.

“Sebelum ini saya juga mengambil tahu mengenai pasukan wanita negara. Saya berpendapat Nadia seorang pemain yang sangat bagus dan berkelas dunia.

“Sebab itu saya rasa jika dia ada dalam pasukan semula, ia pasti akan memberi impak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dhaarma berkata, program tersusun yang dirancang tahun depan adalah sebagai persiapan menghadapi saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia pada Mac 2017 dengan misi untuk layak ke pusingan ketiga seterusnya mencari tiket ke Piala Dunia.

“Kami akan mula berlatih pada 18 Januari dan kemudian pada Mac, akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan kelab di China.

“Antara April hingga hujung Mei, kami akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Jepun sebelum pulang ke Malaysia untuk siri perlawanan persahabatan menentang pasukan AIS (Institut Sukan Australia).

“Kami juga akan beraksi di Liga Australia sekitar September hingga Oktober. Kemudian kami merancang mengadakan kejohanan empat penjuru antara Australia, Jepun, Korea dan Malaysia,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");