Jenayah

Dipenjara 7 hari pukul dua wanita

KUALA TERENGGANU: Gara-gara terlalu mengikut perasaan marah dengan memukul dua wanita menggunakan kayu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan dikenakan denda RM2,800 oleh mahkamah majistret, di sini, kelmarin.

Selain itu, Yuzakee Yusof, 35, turut berdepan hukuman penjara tambahan selama tempoh tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang ditetapkan itu.

Keputusan dibuat selepas dia mengaku salah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Ziera Aniera Hamzah dan Nurul Ain Rusdi, menggunakan sebatang kayu di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada 21 Januari lalu, lebih kurang jam 11.45 pagi, Ziera Aniera bersama adik iparnya, Nurul Ain dan seorang lagi rakan pergi ke rumah rakannya bernama Siti Hawa di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Setibanya di sana, Ziera Aniera terus bertanyakan adakah Siti Hawa ada keluar bersama suaminya sebelum ini.

Bagaimanapun, Siti Hawa menafikan dakwaan itu dan ketika itulah berlaku pertengkaran mulut sehinggakan kakak Siti Hawa yang berada di rumah masuk campur.

Seterusnya, kakak Siti Hawa memanggil Yuzakee untuk mendapatkan bantuan. Yuzakee terus memukul kedua-dua mangsa menggunakan sebatang kayu panjang sehingga patah.

Susulan kejadian, Ziera Aniera mengalami kecederaan iaitu bengkak dan luka di kepala, bibir mulutnya pecah, perut mengalami sakit manakala adik iparnya pula telah dipukul di bahagian leher, mengalami luka dan calar serta bengkak di belakang badan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");