Berita Hari Ini

Ekstremis: Tiga IPD diminta tingkat keselamatan

SUNGAI PETANI – Beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini yang terletak bersempadanan dengan negara jiran diminta mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di daerah masing-masing daripada dibolosi kumpulan ekstremis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, IPD terlibat termasuk IPD Kubang Pasu, IPD Langkawi dan IPD Padang Terap.

“Peningkatan kawalan tersebut adalah bagi mengawal kemasukan individu atau kumpulan disyaki terlibat dengan elemen radikal, pengganas dan ekstremisme yang dikhuatiri menyusup masuk ke negara ini,” katanya selepas majlis penyerahan kereta peronda polis (MPV) di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.

Menurut Zamri Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih peka lebih-lebih lagi dengan senario pergolakan yang berlaku di luar negara seperti Syria dan Iraq yang boleh memberi kesan negatif.

“Bahkan kita juga akan meneruskan pemantauan untuk mengesan dan mencegahsebarang perlakuan radikal dan ekstremis oleh individu yang mempunyai hubungan dengan pengganas di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Zamri berkata, kadar indeks jenayah di Kedah sehingga 29 Disember menunjukkan penurunan sebanyak 13.26 peratus atau 262 kes daripada 7,791 kes berbanding 8,053 kes untuk tempoh sama 2014.

Kes kecurian motosikal, paling banyak dilaporkan tahun ini iaitu 3,111 kes berbanding 3,642 kes tahun lalu, katanya.

Terdahulu, sebanyak 86 kereta MPV Proton Inspira diserahkan kepada 11 IPD seluruh negeri serta 44 motosikal untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Jumlah agihan bergantung kepada daerah yang besar serta kadar jenayah yang berlaku di daerah masing-masing. Penambahan kenderaan ini menjadikan jumlah MPV kini sebanyak 222 buah begitu juga URB, 222 buah.

Katanya, peningkatan logistik ini akan memberi lebih kekuatan kepada polis Kedah untuk meningkatkan rondaan khususnya dengan pertambahan penduduk dan kawasan perumahan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");