Berita Hari Ini

Elak tragedi di tempat perkelahan: Kabinet

PUTRAJAYA: Kabinet mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan tiada lagi tragedi di tempat perkelahan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang beliau mempengerusikan, semalam, berikutan terlalu banyak kematian berlaku di air terjun atau kawasan perkelahan sewaktu musim cuti sekolah.

“Sehubungan itu, Kabinet meminta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya bekerjasama dengan jabatan selain agensi kerajaan berkaitan, kerajaan negeri serta PBT bagi meningkatkan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong.

“Mereka wajar pastikan orang ramai tidak mengunjungi kawasan pelancongan yang ada risiko dan jika tidak dapat dielakkan, pastikan ada tanda amaran bahaya,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Presiden Zambia, Inonge M Wina, di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini. Isu gaduh di Kompleks Kota Raya KEADAAAN di luar premis di Kompleks Kota Raya.

Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Kabinet turut membincangkan isu sensitiviti kaum berikutan kejadian Ahad lalu di mana sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di Kompleks Kota Raya di ibu kota.

Tegas beliau, pergaduhan itu bukan berpunca daripada perbezaan pendapat antara kumpulan etnik atau bangsa yang berbeza.

“Soal pelanggan dan peniaga ini jangan dianggap sebagai soal perkauman, sekali gus memberi gambaran tidak baik, kita mahu keharmonian dan kita harus memberi gambaran yang baik.

“Walaupun kami (kerajaan) tidak terbabit dalam aspek operasi membabitkan pihak penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami bertanggungjawab menyediakan panduan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Persiapan Banjir

Zahid berkata, Kabinet turut membincangkan persiapan menghadapi banjir dengan memilih kaedah pengurusan banjir dilaksanakan di Kemaman, Terengganu sebagai acuan untuk seluruh negara.

“Kita juga siapsiaga menghadapi banjir di Sarawak kerana ramalan cuaca menunjukkan negeri itu akan menghadapi keadaan yang berat pada tahun ini.

“Sehubungan itu, Kabinet meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery ke Sarawak untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) serta membuat persediaan bersama semua agensi berkaitan,” katanya.

Mengenai 13 rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan bas persiaran di Thailand, Ahad lalu, Zahid berkata: “Saya bagi pihak Kabinet, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tidak mengalami trauma kerana melalui pengalaman ini.”

Mengenai Rang Undang-undang MKN Ditanya mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang diluluskan Dewan Negara, semalam, beliau memaklumkan ia akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

“Ini adalah proses biasa selepas pembentangan di Parlimen dan sebagaimana yang ditekankan kerajaan sebelum ini, kita kita tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana kuasa mengisytihar darurat mengikut nasihat Jemaah Menteri tetap terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Seperti yang saya dan Perdana Menteri jelaskan, kita mahu kukuhkan keselamatan, jangan ‘sudah terhantuk baru hendak terngadah’,” katanya. Akta itu memperuntukkan 15 kuasa khas kepada MKN serta pasukan keselamatan untuk mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");