Membawang Hari Ini

Gandingan mantap Stepehn, Jac hangatkan Music Of The Night

BUAT kali pertama sebuah konsert orkestra Music Of The Night: An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra telah diadakan di Panggung Sari Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Menariknya konsert berkenaan juga merupakan gandingan pertama penyanyi ternama tanah air iaitu Stephen Rahman Hughes dan Jaclyn Victor.

Menggunakan khidmat Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), konsert berkenaan berjaya mencuri tumpuan audiens yang hadir pada malam itu seawal persembahan pembukaan lagi menerusi lagu daripada filem Star Wars yang menjadi tema utama konsert tersebut.

Konsert diteruskan dengan alunan muzik hebat sentuhan OSK yang mempersembahkan lagu tema daripada filem terkenal seperti Phantom Of The Opera, Batman, Pirates Of The Carribean, The Lord Of The Ring, Les Miserable dan lagu Di Puncak Tertinggi yang merupakan salah sebuah lagu daripada Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Berkongsi mengenai konsert tersebut, bagi peminat OSK pastinya irama merdu daripada kumpulan orkestra tersohor itu berjaya menawan hati dan halwa telinga mereka.

Sementelah ia mendapat pimpinan kondukter terkenal, Mustafar Fuzer Nawi yang sinonim dengan memberi kelainan serta pendekatan terbaharu terhadap persembahan yang dipimpinya.

Namun, di sebalik kehebatan OSK dan Mustafar Fuzer Nawi, sudah pasti bintang utama konsert berkenaan Stephan Rahman dan Jaclyn Victor telah menghangatkan malam berkenaan.

Ini terbukti apabila setiap kali keduanya muncul di pentas IB, sorakan dan tepukan kepada penyanyi pujaan mereka ini tidak henti-henti.

Meski pun dapat menjangka respons audiens yang hadir, Stephan dan Jaclyn terus-terusan memberikan persembahan yang bertenaga dan menghiburkan pada malam itu sama ada secara solo atau pun duet.

Tidak perlu dipertikaikan lagi, kemantapan vokal mereka berjaya diperlihatkan menerusi konsert itu. Secara keseluruhan, tidak rugi meluangkan masa menonton konsert ini kerana ianya mempunyai keunikan dan kelainan berbanding konsert-konsert yang pernah dijayakan di IB sebelum ini.

Kongsi keterujaan

Mengakui teruja kerana diberi peluang terlibat dengan persembahan tersebut, akui pelantun lagu Gemilang ini, dia tidak menyangka diberikan ruang menjayakan konsert hebat itu.

Malah, dia turut gembira kerana dapat sepentas dan berkerjasama bersama Stephan Rahman sekali lagi.

“Saya sudah lama menantikan saat seperti ini. Kerana itu, saya merasa tidak puas walaupun telah melakukan yang terbaik.

“Koleksi lagu bagi konsert ini juga adalah lagu kegemaran saya, jadi saya sangat menjiwai lagu-lagu yang disampaikan lebih-lebih lagi rata-rata audiens malam ini datang daripada pelbagai kelas dan standard,” katanya.

Jelasnya, dapat beraksi bersama Stephan Rahman juga satu pengalaman yang hebat.

“Saya akui bakatnya sangat hebat dan baik, jadi saya sentiasa memastikan ketika melakukan persembahan duet dengannya saya juga perlu melakukan yang terbaik,” katanya.

Bercerita pengalaman menyampaikan konsert klasikal, ujarnya, ia sebuah cabaran yang besar.

“Jujur saya katakan ia amat berat dan bukan senang menyanyikan lagu-lagu klasik. Setiap not yang dilontarkan perlu disampaikan secara berhemah supaya tidak nampak keterlaluan.

“Bahkan saya tidak boleh lakukan kesalahan kerana akan merosakkan seluruh persembahan yang diiringi kumpulan orkestra,” katanya.

Sementara Stephan Rahman berkata, meski pun sudah biasa menyampaikan lagu-lagu seumpama itu, namun setiap persembahan perlukan auranya tersendiri.

“Tidak semua penonton akan berpuas hati, jika sebelum ini kita lakukan yang terbaik, pastinya kali ini mereka harapkan yang lebih baik. Kerana itu, saya berharap persembahan saya diterima baik oleh mereka.

“Lagi pun, konsert kali ini punya unsur yang berbeza kerana menampilkan lagu-lagu hebat daripada filem blokbuster seluruh dunia yang mempunyai pengikutnya tersendiri,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa bangganya kerana dapat menjayakan konsert berkenaan bersama Jaclyn Victor.

Mesra pendengar

Diakui kehebatannya sebagai kondukter orkestra, Mustafar Fuzer berkata, dia sebenarnya cukup teruja diberikan peluang beraksi di pentas IB.

“Saya puas kerana telah melakukan yang terbaik. Saya harap penonton yang hadir malam ini berpuas hati dan pulang dengan pengalaman muzik yang baharu,” katanya.

Bercerita mengenai orkestra pimpinannya, jelasnya, dia suka membuatkab sesebuah persembahan itu mesra pendengar.

“Skor muzik itu ada peminat tersendiri dan saya tidak menolak bahawa cabaran konsert ini amat berat.

“Jadi, pemilihan lagu dilakukan sebaik mungkin supaya audiens tidak tertanya-tanya mengenai lagi yang dipersembahkan,” katanya.

Turut gembiran dengan sambutan penonton pada konsert tersebut, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, konsert Music of the Night itu dilihat sebagai permulaan untuk IB mengetengahkan dan menghidupkan semula konsert klasikal di pentas penuh prestij itu.

“IB sangat jarang mementaskan konsert sebegini, jadi saya harap sambutan baik ini sebagai kayu pengukur bagi konsert klasikal di pentas IB,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji kehebatan Jaclyn dan Stephan pada malam itu.

“Saya berpuas hati dengan persembahan mereka, bahkan audiens juga memberikan respons yang sangat memberangsangkan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");