Berita Hari Ini

Guna laluan baharu daki Gunung Kinabalu

KUNDASANG – Seramai 135 pendaki termasuk 55 pelancong asing hari ini menjadi kumpulan pertama mendaki Gunung Kinabalu menggunakan laluan baharu selepas ia ditutup untuk pendakian susulan gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun lalu.

Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kumpulan tersebut berlepas melalui pintu Timpohon kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan berharap semua akan sampai ke puncak.

Beliau berkata, bermula hari ini juga kadar bayaran perkhidmatan malim gunung dinaikkan daripada RM150 sebelum ini kepada RM230 untuk sekali perjalanan dan Taman-Taman Sabah (Sabah Parks) juga akan menanggung insurans termasuk kemalangan dan nyawa kepada mereka.

“Ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka (malim gunung) yang telah banyak memberi bantuan kepada pendaki,” katanya kepada media selepas melepaskan kumpulan pendaki pertama ke puncak Gunung Kinabalu di sini.

Masidi juga berkata, tempat perhentian pendaki Gunung Kinabalu kini dikenali sebagai Panalaban dan bukan lagi Panar Laban atau Laban Rata.

Antara peserta yang turut mendaki ialah pendaki solo negara Gunung Everest Ravi Chandran.

Turut hadir pada acara pelepasan itu ialah Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais dan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Farhan Lee Abdullah.

Pada 5 Jun lalu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu telah meragut nyawa 18 orang, yang mana lima merupakan malim gunung dan jurulatih Mountain Torq, yang menguruskan laluan Via Ferrata iaitu laluan yang dilengkapi kemudahan pendakian berasaskan besi di Gunung Kinabalu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");