Sukan Hari Ini

Hiddink puas hati

London: Pengurus sementara Guus Hiddink puas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dilakar Chelsea di Manchester United semalam terutama apabila memikirkan juara bertahan itu bermain tanpa beberapa penyerang.

Diego Costa digantung selepas menerima kad kuning ketika seri 2-2 dengan Watford manakala Loic Remy dan Radamel Falcao diketepikan akibat kecederaan sekali gus memaksa pemain sayap Eden Hazard memikul tanggungjawab selaku penyerang tengah.

“Secara taktikal, tidak ada masalah, kami juga bertahan dengan baik,” kata Hiddink.

“Kami tidak mempunyai kekuatan mencukupi untuk mengalahkan United. Kami berdepan masalah di barisan depan berikutan penggantungan serta kecederaan dan kami perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah itu.

“Hazard pernah bermain di posisi penyerang dan mampu melakukannya kerana dia pemain serba boleh,” kata Hiddink yang mengambil alih jawatan daripada Jose Mourinho awal bulan ini.

“Saya gembira kerana kami mempunyai beberapa peluang pada babak kedua.”

Peluang terbaik disebut Hiddink merujuk kepada pemain tengah Nemanja Matic yang berjaya melepaskan diri dari kawalan pertahanan United tetapi rembatannya melewati palang walaupun dia sebenarnya hanya perlu mengatasi penjaga gol David De Gea.

Chelsea menduduki tangga ke-14 Liga Perdana selepas menang sekali dan seri sejak Mourinho dipecat.

“Pemain mengharungi pengalaman perit sebelum ini,” kata Hiddink. “Mereka perlu bangkit memperbaiki keadaan dan itu yang kami bincangkan dalam bilik persalinan.” – Reuters/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");