Berita Hari Ini

Idea #2Kerja Ahmad Maslan Keterlaluan – Rakyat Malaysia

PETALING JAYA: Cadangan seorang timbalan menteri supaya rakyat Malaysia melakukan dua kerja bagi mengatasi kos sara hidup semakin meningkat menimbulkan kemarahan banyak pihak, sehingga mendapat pelbagai reaksi termasuk dijadikan bahan jenaka.

Ahli Parlimen Umno dan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad merupakan salah seorang yang mengkritik idea Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Shahrir yang dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata bahawa langkah itu akan memberi kesan kepada kebajikan keluarga.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, menteri sepatutnya mencari penyelesaian untuk membantu rakyat dan bukannya mencadangkan sesuatu yang menambah beban mereka.

“Seorang menteri seharusnya menjadi seorang yang waras, bijak dan cekap dalam menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” katanya di Facebook.

“Jika akal yang bijak dan kecekapan tidak diperlukan untuk menjadi seornag menteri, maka apa istimewa sangat dengan jawatan yang mana mereka menerima gaji dan pelbagai keistimewaan?” katanya tanpa merujuk kepada sesiapa.

Ahmad pertama kali dipetik oleh Astro Awani pada Sabtu lalu sebagai berkata: “Saya fikir tidak salah (mempunyai dua kerja) walaupun kita ada peraturan-peraturan, tetapi ia masih menjadi satu cara untuk menangani kos sara hidup meningkat.

“Rakyat Malaysia seharusnya memulakan perniagaan secara dalam talian (online) untuk mendapatkan pendapatan tambahan,” katanya pada satu majlis bersama usahawan-usahawan Johor.

Pelawak, Harith Iskander menjadikan perkara itu sebagai bahan jenaka. “Saya seorang pelawak, pengacara, penulis, jurulatih, pelakon. Saya tidak membuat lima kerja. Saya membuat lima perkara berbeza. Satu kerja mengambil masa sehingga satu hari,” katanya di Twitter.

Pemandu bas sekolah, Premala turut membidas cadangan tersebut.

“Saya memandu membawa kanak-kanak ke sekolah setiap pagi, membawa mereka pulang ke rumah dan melakukan perkara sama pada sesi sekolah petang selain menjaga anak-anak saya. Ia cukup banyak dan saya kepenatan setiap hari,” katanya.

“Walaupun ada yang menawarkan saya kerja kedua untuk menghantar pelajar-pelajar ke sebuah sekolah antarabangsa, saya katakan tidak. Saya akan tergesa-gesa ke sana ke sini dan meletakkan nyawa kanak-kanak dalam bahaya.”

Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Krishnam turut berkata, idea mempunyai dua pekerjaan itu tidak konstruktif kerana ia akan menjejaskan kehidupan peribadi dan keluarga.

“Kajian menunjukkan bahawa mempunyai dua pekerjaan akan membawa kesan negatif kepada kesihatan dan produktiviti,” katanya sambil menambah ia akan mengakibatkan masalah sosial jangka panjang.

“Kerajaan seharusnya memikirkan semula pendekatannya untuk memastikan pekerja mempunyai pendapatan yang cukup untuk menyara mereka dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad kemudiannya memberi penjelasan di Twitter dengan mengatakan bahawa tajuk berita Astro Awani mengenai “Kerajaan menggalakkan melakukan dua kerja” adalah tidak tepat.

“Saya katakan kementerian menggalakkan perniagaan dalam talian yang bermaksud untuk meningkatkan pendapatan. Ia merupakan trend perniagaan terbaharu.

“Saya ada tiga kerja: ahli parlimen, timbalan menteri dan ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia buat dua kerja. Berusaha gigih cari kerja yang halal,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");