Membawang Hari Ini

Identiti negara dalam filem

Dalam pada industri perfileman tempatan suram kerana kutipan kebanyakan filem yang dianggap menyedihkan, filem Polis Evo mencecah kutipan RM17.3 juta memberi nafas baru kepada industri kreatif ini.

Masakan tidak, filem terbitan Astro Shaw itu dijadikan penanda aras oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kepada semua pembikin filem di negara ini bermula tahun depan.

Menurut Ketua Pengarah FINAS Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman, pihaknya sudah menggariskan beberapa peraturan baru dan diwajibkan ke atas semua penerbit filem bagi merealisasikan perkara itu.

Ikuti temu bual khas wartawan RAP Sudirman Mohd Tahir ([email protected]) bersama Kamil berkenaan isu ini.

RAP: Apa masalah utama filem tempatan sehingga menyukarkan sesebuah cerita menarik minat penonton ke pawagam?

KAMIL: Sejak Rancangan Malaysia ke-8 lagi, peruntukan yang diberikan kepada industri kreatif lebih kepada kreativiti pengkarya. Tetapi perkara itu tidak dipraktikkan dalam kebanyakan filem tempatan. Hasilnya, filem berkenaan sekadar menjadi karya kosong sehingga gagal menarik perhatian penonton untuk membeli tiket. Sedangkan pihak kita bercita-cita menjadikan industri perfileman sebagai satu bentuk perniagaan sekali gus dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Bukan tak ada filem yang bagus, tapi tak banyak.

RAP: Apakah formula yang ingin diperkenalkan pihak FINAS?

KAMIL: Untuk ke arah itu, kita menjadikan Korea Selatan sebagai rujukan dengan mengutamakan bahasa dan budaya negara mereka dalam sesebuah penerbitan filem. Dari situ wujudnya sub pelancongan. Justeru, apa yang diinginkan adalah jalan cerita filem kita perlu menggambarkan wajah kita. Itu kekurangan paling ketara sejak dulu sampai sekarang. Malah kebanyakan pengkarya kurang peka terhadap perkara itu.

RAP: Adakah formula sedemikian mampu mengubah landskap penerbitan filem tempatan?

KAMIL: Bukan tak ada orang buat filem, tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita menghadapi masalah penonton yang sudah tidak percayakan filem tempatan. Kebanyakannya menilai filem Melayu tidak berkualiti. Sepanjang tahun ini, 81 sijil wajib tayang dikeluarkan. Namun, secara purata berapa ramai penonton ke pawagam untuk membeli tiket?

RAP: Selain formula itu, ada cara lain yang akan diperkenalkan pihak FINAS?

KAMIL: Sejak April lalu, kita menubuhkan Pitching Centre apabila pusat ini menggabungkan semua elemen dalam penerbitan. Pusat ini juga menjadi tempat menyimpan dan membangunkan skrip sehingga menjadi naskhah yang bagus. Saya percaya skrip adalah resipi utama dalam sesebuah filem. Saya mahukan filem kita berwajah kita dan boleh dibawa ke peringkat antabangsa. Kalau boleh berhenti menghasilkan filem yang berunsurkan budaya luar.

RAP: Sejauh mana Pitching Centre itu boleh membantu?

KAMIL: Di sini kita perlukan orang yang benar-benar hendak menerbitkan filem. Tidak kisah jika penerbit itu berasal dari bidang lain asal saja minat dalam industri kreatif. Namun, kita ada kriteria tertentu dan bukannya tangkap muat saja. Sebab itu, dana pembangunan filem dikeluarkan daripada produksi supaya dapat memberi fokus perkara ini.

RAP: Bagaimana skrip itu dinilai?

KAMIL: Produksi yang ingin menerbitkan filem perlu menghantar skrip mereka ke FINAS bagi tujuan penilaian. Kemudian FINAS akan menyerahkan skrip itu kepada panel penilai yang terdiri daripada lima negara iaitu Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea dan Australia. Panel ini dilantik bagi mengenal pasti sama ada sesebuah filem itu layak dihantar dan dipasarkan ke peringkat antarabangsa atau sebaliknya. Panel itu juga akan menilai kualiti skrip dan jalan cerita yang diketengahkan.

RAP: Adakah perkara ini diwajibkan kepada semua syatikat produksi?

KAMIL: Ya, sebab kita nak membudayakan identiti negara kita dalam filem. Tanpa sebarang kompromi atau alasan, skrip perlu dihantar ke Pitching Centre. Perkara ini tidak akan membebankan mana-mana pihak, sebaliknya ingin membantu dari segi kualiti. FINAS juga akan bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem supaya memantau syarikat produksi yang memohon dana. Bukan apa, kebanyakan filem dihasilkan tidak selari dengan dana yang diminta. Jadi jangan salahkan penonton jika wujud rasa syak wasangka pada filem tempatan.

RAP: Berdasarkan pencapaian dan kualiti filem tahun ini, berkemungkinan besar dana akan dikurangkan?

KAMIL: Jumlah dana masih sama, cuma syarat penyalurannya lebih ketat. Kita tidak akan sesuka hati meluluskan sesuatu permohonan. Bukan apa, kita mahu penerbit turut bertanggungjawab dan sedia menerima risiko. Sebabnya ada yang selesa bersikap lepas tangan. Bermula April sehingga bulan ini, RM17 juta sudah diagihkan. Bagi pembangunan skrip pula kita sudah memperuntukkan RM3.5 juta untuk 18 skrip.

RAP: Secara keseluruhan, bagaimana FINAS melihat kualiti filem sepanjang tahun ini?

KAMIL: Secara jujurnya, masih terlalu jauh nak berpuas hati apatah lagi dengan sambutan hambar daripada penonton. Tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan filem sama kualiti seperti drama TV. Cuma, sedikit melegakan apabila filem Polis Evo mampu mengutip jualan sebanyak RM17.3 juta. Satu perkara lagi, kesan khas digunakan sudah menunjukkan kemajuan berbanding dulu.

RAP: Filem genre macam mana yang dirasakan mampu menarik perhatian peminat filem tempatan?

KAMIL: Filem Polis Evo dijadikan penanda aras untuk kejayaan filem lain pada masa akan datang. Ia laris sama ada jalan ceritanya yang menarik atau tayangan kena pada waktunya dan tidak bertembung dengan mana-mana filem luar. Apa saya perasan, filem kita masih menyajikan cerita cinta era 90-an. Sepatutnya ia perlu segar dengan menerapkan elemen moden, tetapi masih mencerminkan budaya kita. Sebagai contoh, jalan cerita yang berhubung dengan alam, kehidupan dan emosi.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");