Berkisarkan kehidupan seorang lelaki keturunan India sewaktu kecil, filem animasi pendek Sanjay’s Super Team membawa mesej bermakna kepada penonton.
Filem berdurasi tujuh minit itu pembuka animasi terbaru Pixar, The Good Dinosaur yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Seperti filem animasi pendek lain Pixar, karakter dalam Sanjay’s Super Team tiada dialog, cuma aksi sahaja.
Kisah Sanjay’s Super Team adalah ilham pakar animasi Pixar, Sanjay Patel yang menceritakan dirinya ketika zaman kanak-kanak dan sukar menerima tradisi keluarganya.
Membesar di hotel bajet di California, Amerika Syarikat, Sanjay mencadangkan kisah itu menjadi filem pendek kepada eksekutif Pixar pada 2012.
Bagaimanapun, Sanjay yang sudah 20 tahun berkhidmat di syarikat terbabit mengakui pada mulanya kurang keyakinan untuk mengembangkan jalan cerita.
“Saya menjadi teragak-agak dan takut untuk meneruskan filem pendek itu. Ini kerana saya berasakan berkongsi kisah peribadi dan kepercayaan ibu bapa secara terbuka adalah sulit,” katanya.
Pernah terbabit dalam filem A Bug’s Life, Ratatouille dan Toy Story 3, Sanjay berkata, semangat menghasilkan karya itu kemudian kembali atas dorongan dan sokongan bapanya.
“Bapa menasihati supaya saya meneruskan projek itu kerana Pixar mendidik dan menyokong saya selama ini. Dia mempercayai karma buruk akan berlaku sekiranya saya tidak menuruti arahan syarikat,” katanya.
Produser Nadine Grindle turut mencadangkan Sanjay untuk menjadikan cerita pengalamannya sewaktu kecil lebih peribadi.
Dalam filem pendek itu, Sanjay memaparkan bapanya melakukan sembahyang dewa Hindu pada setiap pagi di kediaman mereka. Manakala dirinya asyik menonton katun adiwira di kaca televisyen.
Kemudian, kanak-kanak itu dipaksa bapanya untuk sembahyang bersama dan menurut Sanjay, upacara itu memerlukan masa selama lima minit untuk selesai.
Akibat bosan, Sanjay mula berangan-angan dan membayangkan tiga dewa Hindu iaitu Vishnu, Hanuman dan Durga sebagai adiwira.
Sekeping gambar Sanjay bersama bapanya turut dipaparkan dalam filem pendek itu.
Menekankan keaslian jalan cerita, Sanjay turut memastikan lukisan tiga adiwira itu berdasarkan imaginasi dirinya sewaktu kecil seperti karya kanak-kanak.
“Terdapat perbezaan dengan lukisan kanak-kanak dan elemen itu penting sebagai penamat filem berkenaan.
“Penari profesional turut dibawa untuk membantu pakar animasi dalam pergerakkan dewa Hindu. Kami amat teliti terhadap pemilihan warna yang melambangkan dewa itu kerana enggan menimbulkan kemarahan penganut Hindu,” katanya.
Tambah Sanjay lagi, pasukannya menjadikan ukiran klasik masyarakat India sebagai rujukan untuk menghasilkan wajah dewa berkenaan.
Mengakui pernah berasa malu dengan alaman budaya ibu bapanya, Sanjay mula mendalami warisan keluarganya ketika bekerja di Pixar.
Mengenai reaksi bapanya terhadap filem pendek Sanjay’s Super Team, Sanjay berkata lelaki itu tetap tidak berminat dengan program hiburan, malah belum pernah menonton hasil kerja anaknya.
“Walaupun tidak pernah menonton animasi termasuk karya terbitan Pixar dalam seumur hidupnya, bapa memberitahu Sanjay’s Super Team menjadi filem kegemarannya.
“Saya tidak tahu bagaimana reaksi bapa terhadap animasi namun dia menjadi emosi ketika menonton filem itu.
“Simpulan bapa terhadap filem itu adalah bapa dan anak dapat berkompromi apabila memandang mata masing-masing,” katanya.
-Metro