Berita Hari Ini

Insurans untuk bencana

KEMAMAN – Berdepan dengan bencana banjir setiap tahun mendorong daerah ini memperkenalkan skim perlindungan bencana, Polisi Insurans Kampung Ku, sekali gus menjadikan Kemaman sebagai daerah perintis di negara ini yang menawarkan perlindungan bencana itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini 6,000 penduduk di daerah ini mengambil insurans bencana berkenaan.

“Sekiranya berlaku banjir dan mereka berpindah, pihak insurans yang meletakkan pegawai di barisan hadapan akan memberikan pampasan RM1,000.

“Usaha ini juga merupakan proses pendidikan mengenai pentingnya perlindungan insurans kerana dalam bersiap sedia menghadapi bencana, mereka bukan sahaja bersiap sedia untuk pindah, tetapi mereka juga bersiap sedia mengurangkan bebanan mereka iaitu untuk mendapat sedikit bantuan kewangan daripada pihak insurans berasaskan sedikit pelaburan yang mereka berikan pada peringkat awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Polisi Insurans Kampung Ku Parlimen Kemaman di Pejabat Umno Bahagian Kemaman, lewat petang kelmarin.

Sempena majlis itu, beliau turut menerima sumbangan 5,000 kilogram daging lembu sumbangan Syarikat Allana Food untuk kegunaan semasa banjir.

Polisi insurans itu diperkenalkan dengan kerjasama syarikat insurans ternama, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad.

Untuk menggalakkan orang ramai membeli polisi insurans yang bernilai RM84.20 termasuk duti setem itu, Ahmad Shabery memberi subsidi RM24.20 untuk setiap pembeli, manakala bayaran duti setem RM10 ditanggung pihak insurans dan orang ramai hanya membayar RM50 sahaja.

Pemegang insurans berkenaan layak mendapat pampasan bukan sekadar untuk banjir, malah untuk semua bencana termasuk kebakaran, ribut, kilat dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, usaha memulakan kaedah baharu di daerah itu juga adalah satu sejarah.

Kata beliau, kaedah baharu itu akan dicadangkan untuk dilaksanakan kerajaan bagi melindungi rakyat yang ditimpa bencana, kerana menerusi kaedah itu kerajaan hanya perlu membeli atau membayar premium insurans, manakala urusan pembayaran dan sebagainya akan diuruskan pihak insurans.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");