Sukan Hari Ini

‘Israel tiada tak jejas kejohanan’

Langkawi: Penarikan diri Israel kerana tidak bersetuju dengan syarat dikenakan negara ini tidak menjejaskan kemeriahan Kejohanan Pelayaran Remaja Dunia (ISAF YWC 2015) yang sedang berlangsung di sini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, penarikan diri mana-mana negara dalam sesuatu kejohanan peringkat antarabangsa perkara biasa dan sering berlaku.

“Tiada apa berlaku dan hari ini (semalam) nampak semua pihak (peserta dan penganjur) gembira, malah isu itu tidak disentuh sama sekali oleh wakil Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

“Dasar negara kita memang jelas. Kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel dan (perkara) ini disedari semua negara peserta apabila Malaysia mendapat hak penganjuran kejohanan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ISAF YWC 2015 di Taman Lagenda di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Tan Sri Khalid Ramli dan Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ISAF YWC 2015, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Khairy mengumumkan Langkawi dipilih venue acara sukan perahu layar pada Sukan SEA 2017 bertempat di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan, di Kelibang, di sini.

“Untuk itu kita akan melakukan sedikit kerja naik taraf pusat terbabit menjelang kejohanan berprestij itu. Kita masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.

“Ini penting dalam usaha berperingkat kita membangunkan sukan pelayaran negara, khususnya untuk mencapai sasaran mendapat pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020 Tokyo,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pelayar negara sudah menunjukkan kejayaan cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa dengan membawa pulang pingat emas di peringkat Sukan SEA dan Asia.

“Semoga ISAF YWC 2015 ini menjadi batu loncatan kepada semua pelayar negara untuk mencipta kejayaan lebih baik dan membantu Malaysia menjadi lebih kompetitif dalam sukan pelayaran,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");