Isu Panas

Isu kerjasama bukan keutamaan

SHAH ALAM – Majlis Syura Pas tidak perlu membincangkan mengenai kerjasama dengan Umno kerana itu bukan perkara penting bagi parti itu.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, tiada persidangan akan dibuat badan tertinggi Pas itu kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah jelas.

“Tiada keperluan untuk kita (Majlis Syura) bersidang tentang perkara itu (kerjasama dengan Umno) kerana ini bukan keutamaan parti dan bukan perkara penting.

“Lagipun isu ini bukan benda baharu, sudah beberapa kali disebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Minggu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap dalam perasmian persidangan parti itu menghulurkan tali silaturahim kepada Pas untuk mereka bekerjasama.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam responsnya berkata, Pas terbuka untuk bekerjasama dengan parti itu sekiranya Umno mahu kembali kepada landasan Islam sebenar.

Menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mahfodz Mohamed, Pas Pusat sudah mengadakan mesyuarat beberapa hari lalu dan perkara itu sudah dibincangkan.

“Kita sudah bincang dalam mesyuarat itu. dan apa yang dinyatakan Presiden itu disokong oleh semua yang hadir. Jadi kenyataan itu sudah jelas dan tidak perlu dibawa kepada Majlis Syura lagi,” katanya.

Menurutnya, Majlis Syura akan bersidang sekiranya ada perkara baharu yang memberi kesan besar kepada parti.

Dalam satu temu bual bersama BernamaTV, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendedahkan Najib akan bertemu dengan hadi dalam satu majlis anjuran Alumni Al-Azhar.

Katanya, pertemuan itu satu perkembangan positif susulan tindakan Umno yang mahu menghulurkan silaturahim kepada Pas.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");