Berita Hari Ini

Jarum bukan lagi punca utama

Kepala Batas: Walaupun situasi epidemik AIDS dan virus HIV bagi kes baru di negara ini menunjukkan penurunan 50 peratus, ia masih dianggap ancaman besar terutama penyebaran melalui hubungan seksual.

Sebelum ini, penyebaran HIV melalui perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah dianggap ancaman utama, namun kini ia beralih kepada perilaku seksual sebagai punca utama.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kadar jangkitan HIV melalui perilaku seksual didapati meningkat secara relatif daripada 18.2 peratus pada 2002 kepada 78.3 peratus tahun lalu dengan jangkitan melalui heteroseksual merangkumi 17.5 peratus pada 2002 sebelum meningkat kepada 50.3 peratus tahun lalu.

Katanya, sebelum ini kebimbangan penularan virus HIV melalui perkongsian jarum suntikan, tetapi usaha pelbagai menyaksikan jangkitan melalui kaedah itu menurun daripada 74.2 peratus pada 2002 kepada 19.3 peratus tahun lalu.

“Usaha mengawal HIV di negara ini bermula sejak 1986 dan ia mula menunjukkan kesan dengan bilangan kes baru dicatatkan secara mendatar.

“Kini kita memberi tumpuan mengawal perilaku seksual yang menjadi punca utama penyebaran virus HIV sama ada secara homoseksual atau biseksual,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2015 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dekat sini, semalam.

Sempena program itu, beliau turut melancarkan Dokumen Strategi Kebangsaan Akhiri AIDS 2016-2030 sebelum diagihkan kepada agensi berkaitan.

Turut sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Zailan Adnan.

Menurut Dr Hilmi, selain kes HIV menunjukkan penurunan, kadar kematian akibat virus berkenaan turut berkurang kepada 28 peratus sejak 2002.

“Sejak Januari hingga September tahun ini, 2,455 kes baru jangkitan HIV dilaporkan dan 3,273 kes dijangka dilaporkan sehingga akhir tahun ini.

“Berikutan itu, negara dijangka mencapai sasaran pengurangan kes baru HIV daripada 28 per 100,000 penduduk kepada 11 per 100,000 penduduk,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");