Sukan Hari Ini

KAFA singkir pemain, cuba saingi Johor DT

Kota Bharu: Pemain Kelantan bakal berdepan beberapa peraturan baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) termasuk disingkirkan jika gagal mempamerkan prestasi diharapkan.

Keputusan itu dibuat menerusi Kongres KAFA Ke-61, kelmarin, selepas Kelantan gagal menyerlah dalam Liga Super 2015 sekalipun pertukaran ketua jurulatih dan pemain import sudah dilakukan.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, pihaknya bersetuju menetapkan beberapa syarat kepada pasukan termasuk pemain baru, senior dan juga import dan kesemua mereka itu akan dinilai berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Kata, berdasarkan KPI itu, jika pemain itu gagal menunjukkan prestasi pada tahap dikehendaki, mereka akan diberi amaran pertama termasuk diberi peluang selama sebulan untuk memperbaiki kelemahan itu.

“Jika masih gagal, kita akan beri notis amaran kedua dan seterusnya diberi amaran ketiga jika masih mempamerkan prestasi sama. Pada masa yang sama, kami akan mengambil tindakan memotong gaji 10 peratus dan jika masih tidak berubah prestasinya, potongan itu bertambah kepada 20 peratus dan terakhir 30 peratus.

“Akhir sekali, pemain itu bakal berdepan dengan penyingkiran jika terus gagal menyerlah dan bagi memastikan peraturan itu terlaksana, kami akan selalu menyemak buku laporan prestasi yang disediakan ketua jurulatih, K Devan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bual Bicara KAFA bersama Kelab Penyokong yang dihadiri lebih 200 peserta di Auditorium MARA, malam kelmarin.

Pada majlis sama, Annuar turut mengesahkan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Daudsu Jamaluddin kembali menyarung jersi Kelantan musim depan menandatangani kontrak.

“Musim depan, kita akan menjadikan Johor DT sebagai ‘bench mark’ walaupun hakikatnya untuk menyaingi mereka amat perit. Namun, saya optimis Kelantan bakal menjadi pesaing pasukan lain,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");