Membawang Hari Ini

Kamal minta maaf

Ketika ini, nama Kamal Adli, 29, kembali hangat diperkatakan gara-gara kisah cintanya dengan pelakon, Emma Maembong.

Selain terkait masalah peribadi, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli juga didakwa mempunyai masalah disiplin ketika bekerja iaitu sering lambat ke lokasi.

Terbaru, pada malam gala filem Isteri Untuk Dijual, Kamal selaku pelakon utama tiba lewat. Malah, difahamkan perkara sedemikian bukan kali pertama.

Menjelaskan perkara itu, menurut Kamal sebelumnya dia ada perkara lain perlu diselesaikan.

“Saya minta maaf kepada semua rakan media yang menunggu lama. Saya bukan sengaja nak datang lambat tapi ada kerja lain perlu diselesaikan. Saya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan perniagaan di Seremban.

“Dari awal saya sudah tetapkan masa untuk tiba tepat pada waktunya tapi sepanjang perjalanan hujan lebat. Sangkaan saya Nora Danish hadir, jadi dia boleh ‘cover’ sekejap, tapi tak. Malah, saya pun tak dimaklumkan berkenaan perkara itu,” katanya.

Kamal juga menafikan kelewatannya itu disebabkan dia bersama kekasih hati, Emma Maembong perlu menghadiri acara lain.

Bagaimanapun, perkara terbabit belum sampai tahap dia menyusahkan pihak lain terutama kru di lokasi penggambaran.

“Saya ambil contoh ‘call time’ ke lokasi. Saya datang lambat sebab saya tahu kru takkan mula tepat pada waktunya. Mereka perlu susun segala peralatan.

“Tambahan pula, saya tak perlu disolek. Jadi apabila sampai di lokasi saya terus mulakan babak membabitkan saya. Itu adalah cara saya bekerja dari dulu sampai sekarang. Kiranya memang tak pernah menyusahkan kru produksi,” katanya.

Tambah pelakon filem Abang Long Fadil ini, jika dia benar-benar tidak boleh menghadiri sesebuah majlis atau acara, dia akan memaklumkan lebih awal tanpa membiarkan pihak terbabit menunggu lama.

Berkongsi berkenaan hubungannya dengan Emma, akui Kamal rezekinya bertambah murah sejak mereka bercinta.

Kata Kamal, biarpun sebelumnya dia dikecam kerana didakwa menjadi orang ketiga dan punca perpisahan Emma dan Zizan Razak, namun, dia tetap sabar.

“Jujurnya, sejak berkawan dengan Emma nama saya tak berhenti dihimpit kontroversi. Boleh dikatakan masalah datang satu persatu termasuk digugurkan produksi dari sebuah filem.

“Saya akui mulanya agak tertekan, tapi ada hikmah lain di sebaliknya apabila rezeki saya tak putus-putus. Saya menerima pelbagai tawaran antaranya dilamar menjadi duta produk minuman Escola,” katanya.

Selain muncul dalam filem terbaru berjudul Isteri Untuk Dijual yang mula ditayangkan pada 24 Disember lalu, drama lakonan Kamal bersama Emma iaitu Jodoh Sebelah Pintu yang ditayangkan pada Julai lalu di HyppTV meraih jumlah tontonan tertinggi.

“Memandangkan masih ramai tak suka kami bersama, sebab itu saya kurang memuat naik foto di laman sosial.

“Tetapi disebabkan perkara itu juga mungkin membuatkan drama kami mendapat rating tinggi. Bukan apa, dalam pada tak suka mereka tetap nak menonton lakonan kami,” katanya.

Meski keduanya dilihat semakin terbuka bercakap berkenaan hubungan ini, namun, Kamal masih belum ada sebarang perancangan untuk ke fasa seterusnya iaitu berkahwin.

“Saya ingin berkahwin kerana umur pun sudah 29 tahun, tapi biarlah saya rasa betul-betul stabil dahulu.

“Buat masa ini belum ada perancangan apa-apa, Insya-Allah kalau ada jodoh tak ke mana,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");