Jenayah

Kapten hilang di AS baru dapat bayi kembar

BANDAR SERI JEMPOL: “Suami hanya sempat melihat anak kembar lelaki yang dilahirkan September lalu selama 20 hari sebelum bertolak ke Amerika Syarikat (AS),” kata Siti Hazwani Ahmad, 29, isteri kepada Kapten Hasman Hussin, 34, yang dilaporkan hilang di Missouri, Sabtu lalu.

Dihubungi di rumah bapanya di FELDA Palong 13 di sini malam tadi, Siti Hazwani yang masih berpantang, berkata dia hanya mengetahui berita mengenai suaminya apabila dikunjungi seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi semalam.

Katanya, berita itu menjawab persoalan punca suaminya tidak memberi sebarang respon terhadap rakaman klip video telatah anak mereka yang dihantarnya melalui aplikasi Whatsapp pada 26 Disember lalu.

“Walaupun berada jauh, dia menghubungi kami terutama anak sulung lelaki berusia tiga tahun untuk berbual melalui telefon hampir setiap malam (waktu Malaysia).

“Kami juga aktif berhubung melalui Whatsapp kerana dia mahu melihat telatah anak-anak terutama anak kembar melalui rakaman video.

“Tapi baru-baru ini dia tidak memberi sebarang respon. Saya tidak berasa apa-apa kerana sibuk menguruskan anak-anak,” katanya.

Dia berkata, kali terakhir dia bercakap dengan suaminya adalah pada 25 Disember lalu dan sehari kemudiannya suaminya cuba menghubungi mereka melalui telefon tetapi tidak disedarinya.

Katanya, dia diminta bersedia untuk dibawa ke AS bersama bapa mentuanya, namun mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana dua bayi masih kecil dan dia belum cukup kuat kerana berpantang.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");